CUEPACS Minta Kerajaan Segera Semak Dasar Perumahan Negara


KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan supaya mempercepatkan semakan terhadap dasar perumahan negara bagi memudahkan penjawat awam memiliki kediaman.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata kerajaan perlu melihat semula kaedah pembelian rumah kediaman yang diguna pakai ketika ini, terutama penjawat awam gred B40 dan M40.

Katanya, pihaknya juga memberi cadangan supaya kerajaan menubuhkan satu tabung khas bagi membiayai pembeli rumah yang berpendapatan rendah.

"Difahamkan di Kelantan sahaja, rumah teres sudah mencecah harga RM400,000, kita harap kerajaan dapat mempercepatkan masa untuk semak dasar perumahan negara kerana kita bimbang penjawat awam tidak mempunyai rumah," katanya ketika sidang media pada Program Sesi Dialog di Jabatan Kesihatan Kelantan di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan pengerusi CUEPACS Kelantan, Izuddin Ab Rashid dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Wan Muhamad Sabri Wan Harun.

Azih berkata, pihaknya terus komited membawa kebajikan penjawat awam menerusi cadangan pembiayaan insurans penjawat awam kepada kerajaan dari masa ke semasa sehingga diluluskan.

Pada masa sama, Azih meminta penjawat awam khususnya yang bekerja dalam bidang penguatkuasaan wajar dilindungi insurans sebagai jaminan, sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terutama ketika menjalankan tugas.

"Ketika ini, penjawat awam berjawatan tidak dilindungi sebarang skim perlindingan kecuali insurans peribadi yang diambil secara individu.

"Mereka hanya ada pencen, kita minta fikirkan inisiatif untuk diperkenalkan kepada kerajaan semua anggota yang jalankan tugas tetapi berdepan risiko musibah dan malapetaka," katanya.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA