Caj Rawatan PPUM dan PPUKM Merangkumi 60% Subsidi Kerajaan - Timb Menteri


KUALA LUMPUR - Perkiraan kos rawatan atau caj perubatan di pusat-pusat perubatan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah mengikut prosedur operasi standad yang berdasarkan kepada sistem perakaunan mikro.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, sistem tersebut membuat perbandingan dengan kadar caj yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia dan hospital-hospital swasta dari masa ke semasa.

Caj yang diluluskan katanya turut merangkumi 60% subsidi kerajaan bagi memastikan ia berpatutan kepada orang ramai.

"Sistem turut membuat perbandingan dengan kadar caj yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia dan hospital-hospital swasta yang lain dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa semakan caj dan diluluskan oleh Lembaga Pengurusan yang turut dianggotai oleh wakil-wakil dari KPT, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Caj yang kemudiannya diluluskan oleh lembaga pengurus turut merangkumi 60% subsidi kerajaan bagi memastikan caj rawatan yang dikenakan dapat diterima oleh orang ramai," jelas beliau.

Selain itu katanya, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang beroperasi di bawah KPT tidak menyediakan perkhidmatan perubatan percuma.

Justeru setiap pesakit katanya bertanggungjawab untuk membayar bil rawatan yang dicaj setelah selesai rawatan.

Namun begitu katanya, terdapat saluran-saluran bantuan kewangan disediakan kepada pesakit-pesakit yang tidak mampu untuk melangsaikan bayaran kos rawatan mereka.

"PPUM dan PPUKM tidak menyediakan perkhidmatan perubatan secara percuma dan setiap pesakit adalah bertanggungjawab untuk membayar bil rawatan yang telah dikemukakan setelah selesai rawatan.

"Kedua-dua pusat perubatan ini telah memberi masa yang cukup kepada pesakit dan waris untuk tampil berbincang bagi menyelesaikan tunggakan hutang.

"Ini termasuklah dengan menawarkan saluran-saluran bantuan kewangan seperti bayaran ansuran, pengurangan atau pengecualian bil kepada mereka yang layak dan mewujudkan tabung-tabung kebajikan untuk membantu para pesakit agar dapat diberi rawatan berterusan serta menyelesaikan bil rawatan," katanya. - KLXpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA