Cadang Letak Esszone Di Bawah Akta MKN


LAHAD DATU - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mencadangkan kerajaan untuk menguatkuasakan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai kawasan keselamatan di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, cadangan itu bagi memastikan keselamatan nelayan terjamin daripada menjadi mangsa jenayah rentas sempadan khususnya penculikan.

"Menerusi penguatkuasaan itu, kawasan tersebut akan dipantau oleh pasukan keselamatan dalam tempoh tertentu dan kawalan keselamatan dilakukan secara besar-besaran.

"Ia akan dapat memberi amaran dan isyarat kepada penjenayah rentas sempadan bahawa pihak Malaysia serius dalam melindungi rakyatnya," katanya kepada pemberita selepas menziarahi Ruslan Sarapin, pemilik kapal pukat tunda yang pernah menjadi mangsa culik, di sini, hari ini.

Ruslan atau dikenali Haji Nasir, 39, diculik kumpulan dari selatan Filipina di perairan Semporna berhampiran Pulau Gaya pada 27 Sept dan dibebaskan di Pulau Sitangkai tiga hari kemudian.

Irmohizam berkata, cadangan itu dilihat sebagai kaedah terakhir ekoran berlakunya empat kejadian penculikan membabitkan bot nelayan di kawasan Esszone.

Menurutnya, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi MKN.

Beliau berkata, nelayan tiada pilihan selain perlu turun ke laut agar tidak hilang punca pendapatan.

Katanya, terdapat kira-kira 9,600 nelayan di lima daerah di timur Sabah dengan paling banyak di Sandakan berjumlah 2,672 orang diikuti Semporna dengan 2,060 orang dan Tawau (949 orang).

Dalam program berasingan, Irmohizam turut melawat Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini dan mengadakan perbincangan dengan pegawai di agensi itu. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA