BR1M: Terima Kasih PM


KUCHING: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) melahirkan rasa bersyukur dengan kenaikan bantuan tersebut yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2017 Jumaat lepas.

Najib mengumumkan kenaikan kadar BR1M daripada RM1,000 dan RM1,050 (E-Kasih) kepada RM1,200 sementara individu bujang bergaji RM2,000 ke bawah, bayaran dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

Kenaikan BR1M pada tahun depan ternyata melegakan banyak pihak terutama penerima bantuan tersebut yang rata-rata memberitahu ia bermanfaat untuk menampung perbelanjaan harian termasuk untuk kegunaan persekolahan anak-anak.

Duha Patih,51, berkata, kenaikan bantuan tersebut amat menggembirakan terutama untuk menampung perbelanjaannya dan anak yang masih bersekolah di tingkatan dua.

"Gaji saya tidak seberapa, jadi dengan kenaikan bantuan ini (BR1M) dapat juga menampung perbelanjaan kami berdua," katanya.

Menurutnya, jumlah bantuan tersebut mungkin tidak banyak namun jika dibelanjakan secara berhemah sudah pasti mencukupi termasuk untuk membeli makanan.

"Ada orang kata bantuan ini sedikit kerana diberi secara berperingkat-peringkat. Namun jumlahnya besar bagi saya jika dibelanjakan dengan bijak," ujarnya.

Salbiah Ramli,70, yang turut sependapat dengan Duha menjelaskan, bantuan yang dinaikkan itu sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaannya untuk membeli ubat.

"Secara tidak langsung saya tidak lagi perlu memikirkan untuk membeli ubat kerana duit ini boleh digunakan," ujarnya.

Menurutnya, dia sudah menerima BR1M sejak mula diperkenalkan.

"Setakat ini saya belum ketinggalan menerima BR1M. Alhamdulillah BR1M dinaikkan, terima kasih kepada Perdana Menteri," jelasnya.

Nor Azian Sapiee,27, melahirkan rasa bersyukur dengan pengumuman kenaikan BR1M bermula tahun depan.

"Biarpun masih bujang namun bantuan ini memberi banyak manfaat terutama untuk menampung perbelanjaan harian," jelas Azian. - Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA