Bina kekuatan ummah perlu jadi agenda umat Islam


SERDANG: Membina kekuatan Ukhuwah Islamiah perlu menjadi agenda utama umat Islam bagi menangani pelbagai ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata umat Islam perlu menyedari perpecahan adalah satu elemen yang bukan sahaja membawa kerosakan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat bahkan boleh menghancurkan sesebuah negara.

Katanya, umat Islam di negara ini harus mengambil iktibar terhadap peristiwa yang berlaku di Syria yang mengalami peperangan saudara berpanjangan menyebabkan kemusnahan harta benda, kehilangan keluarga tersayang, keruntuhan sistem sosial, pendidikan, kesihatan dan keselamatan terabai.

"Ambil juga iktibar kesatuan rakyat Turki yang berjaya menggagalkan cubaan rampasan kuasa oleh tentera. Hal ini menunjukkan perpaduan yang kukuh, kekuatan ukhuwah dalam kalangan umat Islam menjamin kestabilan negara daripada sebarang ancaman dari dalam atau luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438 Hijrah bertema Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, sebentar tadi.

Majlis dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Jamil berkata, umat Islam juga berdepan dengan ancaman ekstremisme dalam pelbagai bentuk terutama kumpulan DAESH selain kelompok pelampau menjadikan liberalisme sebagai pegangan mereka.

"Semua ini satu ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan kepada negara yang perlu ditentang habis-habisan oleh umat Islam.

"Di sini penting bagi umat Islam membina kekuatan dengan menyemai semangat persaudaraan dan ukhuwah Islamiah, membentuk persefahaman dan kesatuan fikiran bagi menjamin kesucian dan kedaulatan Islam dalam negara tercinta ini," katanya.

Beliau berkata, umat Islam juga perlu berlapang dada dan menerima pandangan pihak lain secara terbuka jika ia menyentuh perbezaan pendapat yang tidak membabitkan asas akidah dan syariat.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA