Bina Balai Bomba, Tambah Kekerapan Penerbangan Maswings Antara Cadangan Bajet 2017



MIRI : Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (Forum) mencadangkan supaya kerajaan pusat membina lebih banyak balai bomba di kawasan luar bandar di negeri ini apabila membentangkan Bajet 2017 minggu depan.

Presiden Forum Antonio Kahti Galis berkata di bahagian utara Sarawak meliputi Miri dan Limbang, keperluan bagi membina lebih banyak balai bomba perlu disegerakan terutama di kawasan luar bandar kerana cabaran geografi.

"Kami berharap lebih banyak penambahbaikan dilakukan bagi kemudahan asas di kawasan luar bandar termasuk mendirikan lebih banyak balai bomba," kata beliau kepada Bernama di sini semalam.

Forum mengandungi sembilan persatuan mewakili masyarakat Lun Bawang, Kenyah, Kelabit, Lakiput, Saban, Berawan, Kayan, Bisaya dan Penan yang kebanyakan menetap di bahagian utara Sarawak (Miri dan Limbang).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2017 pada 21 Okt.

Antonio yang juga presiden Persatuan Bisaya Sarawak berkata membina dan menambah baik infrastruktur sekolah dan klinik di kawasan luar bandar harus menjadi keutamaan dalam Bajet 2017.

Sementara itu, timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Gerawat Gala mencadangkan supaya penyedia Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) Maswings menambah kekerapan dan kesambungan penerbangan di bahagian utara Sarawak.

"Kekerapan penerbangan harus ditambah di kawasan luar bandar seperti Mulu dan Bario,"kata beliau yang juga anggota dewan undangan negeri Mulu sambil berkata kesambungan penerbangan ialah satu lagi isu yang perlu diambil kira. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA