Bertuah 'Sifu' Gitaris Legenda


Penyanyi baru, Syed Khalid Juffry atau Alyd, 30, bertuah kerana mendapat bimbingan gitaris legenda, Noordin Mohd Taib atau Nordin Search sebagai mentornya.

Menerusi kerjasama yang dijalinkan, jejaka kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini tampil dengan single pertama berjudul Nostalgia.

Lagu berkonsep modern rock ini dihasilkan sendiri Alyd, sekali gus membuktikan bakat besarnya dalam bidang seni.

Alyd berkata, pertemuan di sebuah kedai gitar di Seremban pada 2006 menyatukan mereka.

“Sejak itu kami mula serius berbincang untuk bekerjasama menghasilkan lagu saya. Ketika itu saya sudah pun mencipta tiga lagu, tetapi belum dirakam secara sempurna.

“Bagaimanapun, hasrat kami terpaksa ditangguhkan apabila saya menubuhkan kumpulan Violent Rose dan mengikat kontrak dengan sebuah syarikat rakaman tempatan pada 2010.

“Band ini muncul dengan album berjudul Sinar Malam Mu namun dibubarkan dua tahun kemudian dan saya kembali fokus untuk bekerjasama dengan Abang Nordin,” katanya.

Single Nostalgia diterbitkan syarikat Heart Works Entertainment dan ia sudah mula diputarkan di beberapa stesen radio tempatan.

“Syukur, radio Suria dan Sinar mula memainkan lagu ini dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Ini menepati sasaran kami yang mahu melihat Nostalgia diterima pendengar sebelum mencetak CD untuk dijual pada Disember nanti.

“Kami akan menjual sendiri CD ini setiap kali ada persembahan serta menerusi laman sosial. Ia adalah medium terbaik yang difikirkan sesuai buat masa ini,” katanya.

Sebagai permulaan, Alyd dan Nordin akan membuat promosi secara meluas di stesen radio seluruh negara dan media massa bagi mempromosikan single itu.

“Saya yakin sepenuh hati yang single ini akan diterima baik peminat. Pembabitan abang Nordin ternyata berjaya mewarnai lagu ini untuk diterima ramai,” katanya.

Sepanjang bekerjasama, Alyd melihat Nordin seorang yang fleksibel dan boleh dibawa berunding.

Nordin pula mengakui dirinya sangat cerewet ketika membimbing bakat baru dan berpuas hati dengan kemampuan Alyd.

“Ini kali pertama saya terbabit sepenuhnya dalam pembentukan bakat baru. Saya setuju membimbing Alyd kerana dia seorang yang berbakat dan ada ciri ‘one man show’.

“Dia ada keyakinan tinggi dalam berkarya dan tak mustahil mampu pergi jauh dalam bidang ini,” katanya.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA