Bertempur Tiga Hari Kerana Ulat Bulu


LUBUMBASHI: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam pertempuran selama tiga hari antara etnik Pygmy dan Bantu di Republik Demokratik Congo (DR Congo) selepas mereka bergaduh kerana cukai ulat bulu.

Anggota Parlimen tempatan, Kalunga Mawazo berkata, pergaduhan di Kabalo pada Ahad hingga semalam tercetus akibat pertelingkahan mengenai penuaian ulat bulu, makanan utama penduduk di kawasan di negeri Tanganyika, utara DR Congo itu.

“Pergaduhan yang meletus sejak Ahad lalu menyebabkan empat etnik Bantu dan 16 Pygmy mati selepas mereka bertelingkahan mengenai cukai yang secara tradisinya dibayar oleh etnik Pygmy kepada Bantu,” kata Mawazo.

Seorang paderi yang enggan namanya didedahkan berkata, etnik Pygmy di kawasan itu percaya mereka berhak seperti penduduk lain untuk tidak membayar cukai.

Mereka enggan membayar cukai yang dikenakan secara haram itu lalu memanah dua etnik Bantu menyebabkan mangsa mati.

Dua lagi etnik Bantu terbunuh apabila mereka melancarkan serangan balas yang turut menyebabkan 16 etnik Pygmy mati.

Gabenor Tanganyika, Ngoy Kitangala berkata, pasukan keselamatan dikerah ke kawasan itu dan keadaan di situ dilapor masih tegang semalam.

Pergaduhan membabitkan kematian antara dua etnik itu tercetus sejak 2013.-AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA