Bersukan Tidak Harus Dianggap Sekadar Mengisi Masa Lapang



BINTANGOR: Anggapan sukan sebagai aktiviti mengisi masa lapang perlu dikikis dengan melihat bidang itu daripada perspektif lebih positif.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, sukan bukan hanya berkaitan kesihatan semata-mata sebaliknya memupuk semangat bekerjasama secara berpasukan, membina keakraban dalam masyarakat berbilang kaum serta bertolerasi.

“Sebahagian besar masyarakat di negara ini meminati sukan tetapi tidak ramai mengamalkannya. Malah sejak permainan video dan berbagai media sosial interaktif diperkenal termasuk Facebook, generasi baharu lebih banyak berkomunikasi melalui alam maya.

“Pergaulan tradisi secara langsung dan bersua muka seperti riadah dan sukan semakin berkurangan, menyebabkan timbul sifat menyendiri dan jati diri rapuh terutama belia,” katanya.

Abdullah berkata, selain aktiviti bersukan sama ada ‘indoor’ atau ‘outdoor,’ aktiviti berkaitan kesenian dan kebudayaan juga mampu memupuk pergaulan yang sihat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semop berkata demikian berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Meradong di Stadium Chen Ling Mei di SMK Kai Chung di sini, semalam.

“Selain aktiviti bersukan sama ada ‘indoor’ atau ‘outdoor,’ aktiviti yang berkaitan dengan kesenian dan kebudayaan juga dapat memupuk pergaulan serta pemikiran yang sihat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Meradong di Stadium Chen Ling Mei, SMK Kai Chung di sini, semalam.

Mengenai penganjuran Hari Sukan Negara itu kata Abdullah, program bukan hanya mampu meningkatkan tahap kesihatan dan menjana kesejahteraan tetapi juga platform terbaik untuk membina negara bangsa.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar dapat mempertimbangkan HSN diadakan serentak dengan Hari Kesenian atau Kebudayaan seluruh negara untuk memperkasa jati diri.

“Ia selaras dengan sikap negatif segelintir masyarakat gemar menimbulkan buruk sangka dan fitnah. Kita perlu memperhebatkan aktiviti kemasyarakat seperti ini dalam merapatkan lagi perpaduan serta nilai toleransi,” tegasnya.

Hari Sukan Negara bertujuan merealisasikan hasrat dan inspirasi kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menggalak rakyat di negara ini bersukan di samping menjadikannya sebagai budaya hidup.

Penganjurnya juga bermatlamat memupuk kesedaran tentang kepentingan bersukan bagi mewujudkan masyarakat yang cergas di samping menyemarakkan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Program dihadiri lebih 2,000 peserta itu diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk senamrobik, larian 10,000 langkah dan cabutan tiket bertuah.

Hadir sama Pegawai Daerah Meradong, Mastapa Julaihi,  Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Abang Ismail Abang Mahamud, Wakil Ketua Polis Daerah Meradong, Inspektor Mohamad Ayub, Penyelaras program daerah Meradong, Faziela Hashim dan Pemanca Suhaili Bujang. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA