Bersih akui kegagalannya dan Mahathir bermain silap mata

Tulisan asal oleh :
Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today, 10 Oktober 2016.

"Bersih akan mengambil tindakan undang-undang ke atas ‘land mass data’ SPR," kata Free Malaysia Today.

Inilah masalahnya dengan Bersih. Jika mereka meluangkan lebih banyak masa melakukan kerja yang mereka seharusnya lakukan dan bukannya menganjurkan perhimpunan Bebaskan Anwar dan demonstrasi Anti Najib, ini mungkin tidak akan berlaku. Bersih tidak peka pada objektifnya dan kini mereka telah kalah permainan.

Saya rasa itulah yang akan berlaku apabila seseorang hilang pendirian dan kefahaman, dia juga akan kalah dalam permainan. Dan kini Bersih mahu mengambil tindakan undang-undang. Bersih sepatutnya menghabiskan semua masa yang ada untuk berbincang dengan mendalam dengan Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR tentang isu-isu seperti kawasan pilihan raya, variasi pengundi antara kerusi, undi pos, dan lain-lain. Sebaliknya mereka sia-sia masa mereka dengan cuba untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggantikannya dengan Anwar Ibrahim.

Bersih sepatutnya mengenai pilihan raya yang bebas dan adil. Semasa pertama kali kami melancarkan Bersih pada tahun 2007, kami dengan jelas menegaskan bahawa semua yang kami mahukan adalah pilihan raya yang bebas dan adil. Kami memberitahu pengundi bahawa kami bukannya mengatakan bahawa mereka mesti mengundi pembangkang. Mereka boleh mengundi Barisan Nasional jika mereka mahu. Tetapi ia mestilah dilakukan dengan adil.

Bersih tidak sepatutnya menjadi ahli pakatan keempat dalam Pakatan Harapan (atau Pakatan Rakyat sebelum ini). Ia sepatutnya berada di atas kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, yang bertindak sebagai satu bentuk Kuasa Ketiga. Tetapi ia bukan lagi Kuasa Ketiga. Ia merupakan Ahli Keempat Pakatan Harapan.

Ini bukanlah apa yang kami niatkan pada tahun 2007 semasa Bersih ditubuhkan. Pada tahun 2007, kedua-dua belah jurang politik, termasuklah mereka dari Umno, menyokong Bersih. Sekarang ramai orang membenci Baju Kuning dan melihatnya sebagai satu lagi sayap Pakatan Harapan.

Malaysiakini mengadakan temu bual eksklusif dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana boleh di baca di bawah. Saya (buat masa ini) tidak akan mengulas mengenai temu bual itu. Mari kita lihat sama ada anda memahami implikasi tentang apa yang Mahathir katakan atau, lebih penting lagi, yang beliau tidak katakan.

Jika anda faham, bagus. Jika tidak, anda mungkin salah seorang yang otak udang. Dan saya tidak akan membuang masa saya cuba untuk mendidik seorang yang otak udang, yang sama seperti, seperti apa yang Bible katakan, throwing pearls to pigs (Matthew 7:6) (jangan bertegas untuk memberikan sesuatu yang berharga kepada mereka yang tidak tahu menghargainya, kerana pemberian anda bukan sahaja akan hilang nilainya, malah usaha murni anda juga mungkin tidak akan diterima).

******************

(MALAYSIAKINI EKSKLUSIF) - Hanya dua minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu orang ramai di London bahawa presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin adalah pilihan yang paling berkemungkinan untuk menjadi perdana menteri akan datang, jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Walau bagaimanapun, dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya Rabu lalu, Mahathir nampaknya telah berubah pendapat dengan enggan komited sepenuhnya mengenai Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, ketika ditanya sama ada Muhyiddin sesuai untuk memimpin.

"Saya fikir pada masa ini, dengan sokongan, saya fikir beliau boleh memimpin," kata Mahathir, dan selepas berdiam untuk seketika yang ketara, menambah "parti itu".

"Sama ada dia boleh memimpin kerajaan adalah satu perkara yang lain," katanya lagi.

Perbuatan berdiam untuk seketika itu sangat ketara dalam temu bual itu, kerana, walaupun usia yang sudah lanjut, beliau yang berusia 91 tahun itu seorang yang tajam dan cepat untuk menjawab hampir semua soalan yang diajukan kepadanya, tanpa teragak-agak.

Sepanjang wawancara itu berlangsung, kelakuan teragak-agak ini bertukar menjadi penafian apabila ditanya sama ada Muhyiddin adalah pilihannya untuk ketua kerajaan.

Ini berbeza dengan kata-kata beliau pada ucapan di London, di mana beliau berkata bahawa Muhyiddin Yassin adalah pilihan utama untuk Perdana Menteri jika pembangkang menang.

"Bukan. Saya rasa pilihan untuk Perdana Menteri (jika pembangkang menang), apabila parti-parti bertemu (selepas memenangi pilihan raya, ia) bergantung kepada ahli-ahlinya.

"Saya tidak boleh mengatakan seseorang itu perlu menjadi perdana menteri," katanya dalam satu wawancara yang diadakan minggu lepas.

Mahathir juga berkata, apabila bercakap mengenai pemimpin masa depan, kemampuan seseorang untuk memimpin hanya dapat dinilai setelah mereka berkuasa, sambil menambah bahawa beliau telah "banyak kali memilih pemimpin yang salah".

Pemerhati telah menyoal sama ada Muhyiddin, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, mampu memimpin negara, menitikberatkan tentang kekurangan tindakan bermakna beliau selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak memecat beliau daripada kabinet.

Pengumuman dua minggu lalu juga meletakkan Mahathir dan Muhyiddin bertentangan dengan Pakatan Harapan, yang terus komited kepada Ketua Umum PKR yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim sebagai seorang pilihan mereka di Putra Perdana.

‘Terpulang kepada ahli-ahli untuk menentukan'

Mahathir juga berkata Bersatu boleh hidup tanpa beliau dan dengan Muhyiddin sebagai pucuk pimpinan, tetapi dengan cepat menekankan bahawa ianya tidak akan kekal begitu sepanjang masa.

"Ia tidak bermakna beliau (Muhyiddin) adalah presiden tetap atau apa-apa seperti itu. Kita akan mempunyai pilihan raya dan terpulang kepada ahli-ahli untuk menentukan sama ada beliau sesuai untuk meneruskan atau untuk tidak meneruskan."

Dalam petikan berikut dari wawancara eksklusif Malaysiakini, Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara ini juga menjawab mengenai dakwaan bahawa beliau cuba untuk kembali berkuasa; bercakap lanjut mengenai kepimpinan masa depan negara; dan sama ada Umno boleh diselamatkan.

Wawancara itu telah disunting kerana bahasa dan keringkasan.

Kenapa adanya pengerusi dan presiden dalam Bersatu?

Kami tidak mahu menumpukan kuasa dalam tangan satu orang sahaja. Kami mendapati bahawa jika terdapat penyalahgunaan kuasa, majlis (tertinggi) tidak mampu membendung penyelewengan itu.

Jadi ia adalah lebih baik untuk mempunyai badan lain yang dipengerusikan oleh Pengerusi, yang akan mengimbangi kuasa Presiden.

Ada yang menuduh anda cuba untuk mengawal Muhyiddin dengan menjadi pengerusi?

Ini adalah perkara biasa yang orang katakan. Tetapi saya terlalu tua untuk mengawal semua orang. Tetapi saya percaya dua kepala adalah lebih baik daripada satu.

Ada yang mengatakan anda mungkin menjadi menteri mentor, seperti mendiang Lee Kuan Yew.

Saya tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi menteri atau menteri kanan atau menteri mentor atau apa sahaja.

Annuar Musa berkata, jika Mukhriz mahu menjadi perdana menteri, beliau boleh kembali kepada Umno.

(Gelak kecil) Saya rasa Umno tidak akan menghasilkan perdana menteri selama-lamanya.

Selain Muhyiddin, siapa yang anda lihat sebagai mampu untuk memimpin negara?

Memang terdapat ramai orang lain yang tidak dibenarkan untuk menyertai Umno khususnya. Kerana pemimpin-pemimpin Umno takut orang yang lebih bagus daripada mereka menyertai parti itu dan mungkin menggulingkan mereka.

Pemimpin-pemimpin Umno semakin menjadi kurang mampu kerana mereka hanya membenarkan orang yang lebih kurang mampu daripada diri mereka sendiri untuk menyertai parti itu, dan apabila mereka mati, parti itu akan diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang lebih teruk, dan apabila orang itu mati, kualiti pemimpin akan turun lagi.

Bolehkah anda menamakan seseorang khusus yang anda lihat boleh menjadi pemimpin negara ini?

Saya tidak boleh mengatakan secara khusus, tetapi kita mempunyai ramai orang yang berminat untuk menyertai Umno, sebagai contoh, (tetapi) yang telah dihalang daripada menyertai Umno.

Malah, Mukhriz tidak dibenarkan untuk menyertai Umno. Jadi, saya berharap bahawa apabila kami membentuk Bersatu, orang-orang ini akan menyertai kami kerana kami tidak mempunyai apa-apa sekatan ke atas keupayaan.

Adakah anda melihat sesiapa di kalangan belia yang boleh menjadi pemimpin?

Saya tidak akan menamakan mereka tetapi saya fikir mereka adalah jauh lebih berpendidikan daripada pemimpin-pemimpin semasa.

Apabila pemuda menjadi berkuasa, perlukah mereka merujuk kepada generasi yang lebih lama?

Generasi lama akan hilang. Mereka akan mati. Tidak banyak yang terselamat. Mereka yang umur seperti saya, berapa ramai daripada mereka yang masih ada? Mereka akan menjadi tidak berkeupayaan atau mati.

Anak anda Mukhriz mencadangkan untuk menghadkan perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal. Adakah anda menyokong perkara ini?

Ini adalah trend di seluruh dunia. Ada yang menghadkan kepada satu penggal, ada yang kepada dua penggal.

Tetapi apa yang penting adalah seorang perdana menteri perlu diberi masa untuk berfikir, untuk memahami kerjanya, untuk menggubal polisi dan melaksanakan dasar-dasar.

Dalam kes saya, saya mempunyai masa selama 22 tahun dan oleh itu saya mempunyai banyak masa untuk melakukan dan menyelia apa yang telah dilakukan. Tetapi saya fikir jika seseorang itu berkhidmat terlalu lama, beliau boleh menyalahgunakan kuasanya.

Dalam kes saya, saya sendiri membuat keputusan untuk meletak jawatan, tanpa tekanan daripada orang lain.

Tidakkah anda fikir cadangan ini adalah ironik, memandangkan anda adalah Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat di Malaysia?

Saya fikir Mukhriz mendasarkannya pada kejayaan saya. Pada masa saya berkhidmat, saya tidak mendengar sesiapa beritahu saya supaya berundur, saya meletak jawatan atas pilihan saya sendiri.

Tetapi sekarang orang mahu perdana menteri meletak jawatan, jika boleh sebelum satu penggal berakhir. Ia adalah kerana prestasi (Perdana Menteri).

Jika pemimpin yang menerima rasuah meninggalkan Umno, bolehkah ia diselamatkan?

Ia tidak boleh diselamatkan lagi. Orang ramai bencikannya sekarang.

Adakah anda akan mempertimbangkan untuk kembali untuk menyelamatkan Umno jika pemimpin meletakkan jawatan?

Tidak mungkin, saya telah melepasi peringkat itu.

Adakah anda mempunyai kekesalan kerana meninggalkan Umno?

Saya mempunyai kekesalan, kerana ini adalah parti saya. Saya merupakan seorang ahli dari tahun 1946. Saya juga presiden parti. Ia tidak mudah bagi saya untuk membuat keputusan untuk keluar parti.

Tetapi ia kini telah menjadi parti yang berbeza, bukan Umno yang pada asalnya diasaskan oleh ‘founding fathers’.

Bolehkah anda bersimpati dengan bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn, yang meninggalkan parti?

Mereka tidak benar-benar meninggalkan parti. Mereka adalah ahli-ahli parti. Tetapi apabila saya membentuk Umno Baru (selepas Umno diisytiharkan haram pada tahun 1988), mereka tidak menyertai semula, itu sahaja.

Jadi, bolehkah anda bersimpati dengan keputusan mereka untuk tidak menyertai semula Umno ketika itu?

Saya fikir situasinya adalah tidak sama. Saya tidak mencuri wang, saya tidak melakukan apa-apa yang salah.

Tetapi mereka mempunyai hak untuk tidak menyokong saya secara langsung, atau untuk bersama dengan parti yang lain juga.

http://www.malaysiakini.com/news/358489

Link asal artikel:
http://www.malaysia-today.net/bersih-admits-failure-and-mahathir-plays-silap-mata/

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA