Berdengkur Semasa Tidur Boleh Dirawat Melalui Pembedahan



KUALA LUMPUR : Pembedahan kecil di saluran pernafasan bagi mereka yang menghadapi masalah tidur berdengkur atau 'obstructive sleep apnea (OSA)' boleh membantu untuk bernafas dengan baik ketika tidur, kata pakar berkenaan.

Pakar Perubatan Jabatan Otorinolaringologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mazlinda Mahadzir yang ditemui Bernama berkata pembedahan itu bertujuan untuk membuang halangan pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh beberapa faktor.

"Antara faktor itu termasuk tonsil yang besar di bahagian tekak, bentuk batang hidung yang bengkok, bahagian dalam hidung yang bengkak dan lelangit lembut yang berkedudukan rendah.

"Masalah kegemukan serta dagu yang bersaiz kecil juga boleh menyebabkan terjadinya OSA sehingga menjejaskan kualiti waktu tidur," katanya.

Beliau berkata pembedahan yang dijalankan biasanya untuk membuang tonsil yang besar, meninggikan kedudukan lelangit lembut dan membetulkan hidung yang bengkok manakala lain-lain pembedahan bergantung kepada penyebab terjadinya sumbatan pada saluran pernafasan itu.

"Tetapi pembedahan hanya dilakukan kepada mereka yang tidak mempunyai masalah berat badan berlebihan dan penyakit lain yang boleh menyebabkan risiko kepada kesihatan," katanya yang telah merawat hampir 1,000 penghidap OSA sejak tahun 2011.

Mazlinda berkata OSA terjadi apabila tisu tekak yang lembut tertarik ke dalam dan mengeluarkan bunyi yang kuat sehingga menghasilkan bunyi dengkuran.

Bunyi dengkuran itu berhubung kait dengan 'apnea' iaitu keadaan apabila aliran udara tidak dapat mengalir masuk dan keluar dari hidung atau mulut yang berlaku lebih daripada 10 saat.

"Jika tidak dirawat OSA boleh membawa maut sewaktu tidur kerana jantung terpaksa mengepam darah yang mengandungi oksigen ke seluruh tubuh badan. Apabila keadaan itu berlaku, degupan jantung menjadi tidak sekata dan boleh menyebabkan kegagalan jantung berfungsi," katanya.

Kesan daripada OSA menyebabkan penghidapnya mengantuk pada waktu siang, sakit kepala, sentiasa merasa penat, tertekan dan mendorong kepada masalah seksual.

Oleh itu, Mazlinda menasihatkan kepada mereka yang mempunyai masalah OSA supaya mendapatkan rawatan yang terdapat di HKL untuk mengenal pasti kawasan yang tersumbat dan menjalani ujian di makmal tidur di hospital itu.

Pemeriksaan dan ujian tidur adalah untuk memastikan jenis rawatan yang boleh dijalankan atau hanya menggunakan mesin 'continuous positive airway pressure (CPAP)' yang dipakai semasa tidur.
Bagi penghidap OSA, Mohd Sharil Mohd Zaidi, 36, yang telah menjalani pembedahan untuk membuang tonsil pada tahun lalu mengakui kaedah pembedahan itu berjaya meningkatkan kualiti waktu tidur dan kesihatannya.

Dia yang juga merupakan seorang penjawat awam berkata sebelum menjalani pembedahan itu, dia terpaksa menggunakan mesin CPAP kerana mengalami masalah berat badan sehingga 110kg sebelum berjaya menurunkan kepada 68kg dan seterusnya menjalani pembedahan di HKL.

"Selepas pembedahan bunyi dengkuran memang hilang, hampir tiada dan kualiti tidur memang terasa perbezaannya. Sebelum pembedahan, bunyi dengkuran saya memang kuat sehingga isteri pun tidak tahan, kawan-kawan pun susah untuk tidur berdekatan," katanya yang mengakui pernah terbabas ketika memandu kerana terlelap kesan daripada masalah OSA. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA