Bedah Jantung Bayi Dalam Kandungan


Beijing: Pasukan perubatan China berjaya melakukan pembedahan jantung seorang bayi yang masih dalam kandungan ibunya, pembedahan pertama seumpamnya di China.

Sepasukan doktor dan pembantu di wilayah Guangdong, selatan China, melakukan pembedahan selama 20 minit pada 21 September lalu, bagi memperbaiki jantung bayi itu yang mengalami masalah.

Menurut laporan People's Daily Online, doktor di Hospital Besar Guangdong menggunakan jarum mini ketika melakukan pembedahan jantung bayi dalam kandungan yang berusia tujuh bulan.

Ibu bayi itu dikenali sebagai Xie, diberitahu satu saluran ke injap jantung bayi dalam kandungannya terlalu sempit, menyekat darah dari jantung ke paru-paru.

Menurut doktor, pembedahan perlu dilakukan segera kerana jika dibiarkan, bayi akan lahir dengan hanya satu injap berfungsi menyebabkan nyawanya terancam.

Doktor memasukkan jarum ke dalam saluran yang sempit itu sebelum memasukkan alat, termasuk belon khas bagi membuka saluran berkenaan.

Empat hari selepas pembedahan, perjalanan darah dari injap bayi itu yang hampir tersumbat, bertambah baik menunjukkan pembedahan berkenaan berjaya. -Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA