Banjir Besar Landa Vietnam


HANOI: Banjir besar di tengah Vietnam meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa dan memusnahkan ribuan rumah ketika negara itu berdepan dengan kemusnahan lebih teruk apabila satu lagi taufan semakin menghampiri negara itu.

Imej dari wilayah yang dilanda banjir menunjukkan rumah hampir tenggelam sepenuhnya dan penduduk mengharungi jalan raya yang dinaiki air berikutan hujan lebat yang bermula minggu lalu.

Empat orang dilaporkan masih hilang dalam bencana itu yang memusnah atau menyebabkan kerosakan kepada lebih 240,000 kediaman di beberapa wilayah tengah sejak Jumaat lalu.

Nguyen Khac Vinh, penduduk di Quang Bing, antara wilayah paling teruk terjejas berkata, keluarganya tidak mempunyai air bersih untuk diminum dan bahan untuk dimasak selepas rumahnya tenggelam sepenuhnya.

“Banjir naik mendadak. Simpanan beras, ayam dan itik kami musnah semuanya,” kata Vinh.

Media kerajaan melaporkan, sekurang-kurangnya sebuah loji tenaga hidro melepas air dari empangan secara tidak sengaja, memburukkan lagi kemusnahan hujung minggu lalu.

Sementara itu, Taufan Sarika yang membadai Filipina Sabtu lalu dijangka melanda Vietnam esok.

Peramal kaji cuaca tempatan berkata, Sarika ialah ribut petir terbesar musim ini. Penduduk, khususnya di wilayah utara, mungkin akan diarah berpindah. - metro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA