#Bajet2017: Transformasi TVET, Tingkat Kualiti Tenaga Kerja Tempatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk memperkukuhkan dan memperkasakan modal insan, termasuk mentransformasi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mewujudkan tenaga kerja berkualiti negara.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, kerajaan memperuntukkan RM4.8 bilion kepada 545 institusi TVET melalui Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

KWPSM memperkenalkan Pengiktirafan Pengalaman dan Pembelajaran Terdahulu (RPEL) pada April 2016 bagi pekerja di bawah kategori B40, yang mengiktiraf sijil dan pengalaman kerja mengikut Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 oleh JPK.

Sehingga akhir Ogos, sejumlah RM515,850 dibelanjakan yang memanfaatkan 100 pekerja.

Satu Program Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GENERATE) yang direka khusus untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah, akan melengkapkan graduan dengan kemahiran tinggi, kompetensi dan pengalaman berkaitan yang diperlukan oleh industri. Setakat akhir Ogos, RM1.7 juta dibelanjakan untuk melatih 160 siswazah menganggur.

Dalam usaha mewujudkan tenaga kerja berkualiti, kerajaan melalui pelbagai agensi akan melatih tambahan 15,000 peserta, khususnya siswazah menganggur di bawah Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bagi tempoh 12 bulan merangkumi dua bulan latihan insaniah dan maksimum 10 bulan latihan dalam pekerjaan.

Sebanyak RM153 juta dibelanjakan oleh syarikat berkaitan kerajaan untuk program ini sejak Januari hingga Ogos 2016 dan memberi manfaat kepada 9,000 siswazah.

Bagi melatih semula pekerja yang diberhentikan, 30 peratus daripada KWPSM diperuntukkan untuk program latihan, di samping penubuhan 1Malaysia Outplacement Centre pada Mac 2016 yang menyediakan kaunseling kerja dan perancangan serta pemadanan pekerjaan.

Sebanyak 23 kursus latihan diluluskan dan pada akhir Ogos 2016, sejumlah 564 peserta menjalani latihan yang dikelolakan oleh penyedia latihan yang berdaftar dengan KWPSM.

Pada masa kini, KWPSM bekerjasama dengan lebih 40 syarikat dalam pelbagai sektor iaitu minyak dan gas, pembuatan, teknologi maklumat, hospitaliti dan runcit.

Sementara itu, Latihan Lanjutan Program Pengarah Wanita yang bermula 2015 dan bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pemimpin wanita dalam jawatan membuat keputusan utama berjaya menempatkan 49 peserta berkenaan dalam Lembaga Pengarah syarikat awam tersenarai.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA