#Bajet2017: Tiga Langkah Diperkenal Tingkat Produktiviti Negara


KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperkenalkan tiga langkah termasuk mempercepat inovasi dan keusahawanan bagi mencapai sasaran meningkatkan produktiviti negara sebanyak 3.7 peratus setahun bagi tempoh empat tahun akan datang.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, sejumlah RM1.3 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi berdaya saing di rantau ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM37.3 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan pelbagai program termasuk Program pembangunan Modal Insan dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Bagi merangsang pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh institusi penyelidikan tempatan, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) melalui Program Pelaburan Strategik dalam Syarikat Inovatif telah melabur sebanyak Rm276.7 juta dalam 11 syarikat merentasi pelbagai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju hab keusahawanan serantau, sejumlah RM35 juta diperuntukkan kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) untuk melaksanakan pelbagai program termasuk Pusat Keusahawanan ASEAN (ACE), Program Pertukaran Startup, Program MaGIC Accelerator, Startup DB dan MaGIC Setral telah dilaksanakan.

Pada masa sama, Akademi MaGiC dan Akademi Keusahawanan Sosial telah berjaya meningkatkan kemahiran dan melatih lebih 13,000 usahawan melalui 180 bengkal dan boot kem yang diaakan di enam bandar raya seluruh negara.

Langkah lain yang turut diperkenal ialah memanfaatkan kemajuan teknologi di mana bagi menggalakkan sistem binaan berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan, kerajaan melalui SME Bank telah memperuntukkan RM500 juta tahun ini bagi Program Promosi Dana Pembiayaan IBS dalam sektor pembinaan.

Pada akhir Ogos lepas, pinjaman mudah RM15 juta telah disalurkan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terlibat dalam IBS bagi pembelian aset tetap, pengubahsuaian kilang dan penyediaan modal kerja.

Bagi meningkatkan produktiviti negara, kerajaan turut menitikberatkan soal membudayakan teknologi hijau dengan memberi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 berbanding paras pada 2005.

Antara program di bawah inisiatif itu ialah Electricity Mobility Action Plan termasuk proses audit tenaga antaranya membabitkan pelaksanaan audit tenaga dan retrofit terhadap sistem penyaman udara dan pencahayaan bangunan kerajaan.

Selain itu, pada 2010, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) diperkenalkan bagi mempercepatkan perkembangan industri teknologi hijau dengan menyediakan akses mudah kepada pembiayaan.

Sejak dilaksanakan, 509 permohonan telah diproses oleh GreenTech Malaysia dengan nilai projek RM20.8 bilion dan kos Teknologi Hijau RM7.8 bilion.

Pada akhir Ogos, sejumlah 226 projek telah dibiayai dengan kos projek RM2.4 bilion.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA