#Bajet2017 : Sembilan Kemudahan Untuk Penjawat Awam



Pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam turut mengandungi sembilan kemudahan bagi menghargai 1.6 juta penjawat awam yang menjadi tonggak pentadbiran dan jentera kemajuan negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kemudahan cuti belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa yang sebelum ini hanya diberi kepada kumpulan pengurusan dan profesional, kini akan turut ditawarkan kepada kumpulan pelaksana.

Selain itu, Najib berkata penjawat awam akan turut menikmati pemberian cuti kuarantin apabila anak mereka sakit dan perlu dikuarantin, menerusi cuti tanpa rekod selama lima hari.

Perdana menteri berkata kerajaan akan memperluaskan kemudahan pembiayaan pembelian komputer kepada pembelian telefon pintar dengan had pinjaman sehingga RM5,000 bagi setiap tiga tahun.

“Kerajaan juga memutuskan pinjaman pembelian motosikal akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 ,” kata Najib.

Perdana menteri berkata kerajaan mengambil berat mengenai perkara membabitkan perumahan penjawat awam dan akan terus komited agar mereka memiliki rumah sendiri.

Sehubungan itu, katanya kerajaan bersetuju menaikkan kelayakan pinjaman perumahan penjawat awam daripada RM120,000 kepada RM200,000 manakala pinjaman paling tinggi dinaikkan kepada RM750,000 berbanding RM600,000 sebelum ini.

Najib berkata penjawat awam turut ditawarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dengan harga jualan sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran iaitu antara RM90,000 hingga RM300,000.

Justeru, sebanyak 30,000 unit rumah PPA1M akan disiapkan, katanya.

Mengenai pegawai kontrak dalam sektor perkhidmatan awam, Najib berkata pekerja lantikan ‘Contract Of Service’ dan ‘Contract For Service’ yang akan tamat tempohnya pada penghujung tahun ini, kontrak mereka akan dilanjutkan sekurang-kurangnya satu tahun lagi.

Beliau turut mengumumkan pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian paka akan diberi satu lapisan gred baharu iaitu gred 56 antara gred 54 dan JUSA C.

“Kemudahan kewujudan gred baharu ini bertujuan mengatasi masalah para doktor pakar yang mahu meninggalkan perkhidmatan awam atas isu kelewatan naik pangkat,” kata Najib.

Mengenai sejumlah hampir 2,600 graduan perubatan yang tidak mendapat penempatan menjalani ‘housemanship’ di hospital kerajaan, mereka kini boleh melakukan ‘housemanship’ secara kontrak.

“Kerajaan mengambil keputusan melantik secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya bulan Disember tahun ini (2016) kerana kekangan jawatan tetap.

“Kemudahan untuk graduan perubatan ini diharapkan akan membawa khabar gembira kepada mereka dan keluarga mereka,” katanya.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA