#Bajet2017 : Sektor Swasta Teras Permintaan Domestik Perkukuh Ekonomi Malaysia 2017



Kuala Lumpur : Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 diunjur kekal didorong oleh permintaan domestik terutamanya sektor swasta yang akan dipacu dasar pro-pertumbuhan fiskal dan kewangan akomodatif.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017, persekitaran inflasi dijangka stabil antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus.

"Agregat permintaan domestik dijangka berkembang 4.9 peratus pada 2017 terutamanya disokong perbelanjaan sektor swasta, yang dijangka meningkat 6.2 peratus," menurut laporan itu.

Laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, perbelanjaan sektor awam dijangka meningkat secara marginal 0.6 peratus.

Sejajar dengan sentimen perniagaan yang menggalakkan, pelaburan swasta dijangka meningkat 5.8 peratus, justeru menyumbang 17.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, kata laporan itu.

Dari sudut penawaran, pertumbuhan dijangka menyeluruh dengan semua sektor mencatat pertumbuhan positif.

Nilai ditambah sektor perkhidmatan pula dijangka meningkat 5.7 peratus pada 2017, disokong oleh pengembangan dalam semua subsektor.

Menurut laporan itu, sektor pembuatan diunjur berkembang 4.1 peratus pada 2017, dengan pertumbuhan industri berorientasikan eksport terus disokong permintaan mapan bagi produk elektrik dan elektronik.

Pertumbuhan sektor pertanian pula dijangka kembali meningkat kepada 1.5 peratus pada 2017 berasaskan kepada peningkatan pengeluaran kelapa sawit dan getah serta pertumbuhan kukuh subsektor komoditi makanan, kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan, sektor perlombongan dijangka berkembang 1.4 peratus pada 2017 disokong pengeluaran gas asli lebih tinggi, manakala sektor pembinaan diunjur berkembang 8.3 peratus terutamanya disokong projek infrastruktur besar.

Bagi kedudukan sektor luar Malaysia pula, ia dijangka bertambah baik pada tahun 2017, disokong perkembangan ekonomi dan perdagangan kukuh, kata laporan itu.

Eksport kasar dijangka berkembang pada kadar lebih cepat sebanyak 2.7 peratus pada 2017, manakala import kasar dijangka terus berkembang 3.4 peratus.

Laporan itu menyatakan, akaun perkhidmatan pula diunjur kekal defisit dengan mencatat RM23.1 bilion pada 2017 seiring dengan prospek aktiviti berkaitan perdagangan dan pelaburan yang lebih baik.

Akaun pendapatan primer dijangka mencatat aliran keluar bersih yang lebih besar pada RM37.4 bilion berikutan peningkatan keuntungan, dividen dan faedah terakru syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia, kata laporan itu.

Sementara itu, akaun pendapatan sekunder dijangka kekal defisit pada RM24.8 bilion, terutamanya disebabkan kiriman wang keluar oleh pekerja asing.

Walau bagaimanapun, menurut laporan tersebut, lebihan dalam akaun barangan dan perkhidmatan lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi aliran keluar bersih dalam akaun pendapatan, menurut laporan itu.

Oleh itu, akaun semasa 2017 dijangka terus mencatat lebihan pada RM14.8 bilion, kata laporan itu.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA