#Bajet2017 : Sektor Perkhidmatan Malaysia Dijangka Catat Pertumbuhan 5.7 Peratus Pada 2017



Kuala Lumpur : Sektor perkhidmatan dijangka mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada 2017 berikutan momentum pertumbuhan positif sebanyak 5.6 peratus yang diunjur dicatatkan pada 2016 susulan sokongan daripada aktiviti ekonomi domestik yang berdaya tahan.

Sektor perkhidmatan pada 2016 dijangka meliputi 54.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun ini berbanding 53.5 peratus sebelum ini,

Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat.

Menurut laporan itu di bawah sektor perkhidmatan, kumpulan perkhidmatan akhir dijangka meningkat 5.8 peratus pada tahun ini berbanding 6.1 peratus sebelumnya, diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit serta makanan, minuman dan penginapan.

Subsektor perdagangan borong dan runcit meningkat 5.9 peratus dalam tempoh separuh pertama 2016 berbanding 7.8 peratus berikutan perbelanjaan berterusan isi rumah dalam segmen runcit.

Segmen tersebut meningkat 6.3 peratus berbanding 7.5 peratus pada separuh pertama 2015 dengan jualan di kedai khusus berkembang 8.4 peratus kepada RM129.6 bilion berbanding RM119.6 bilion dalam separuh pertama 2015, didorong oleh jualan produk isi rumah serta peralatan maklumat dan komunikasi.

Sementara itu, jualan di kedai bukan khusus meningkat 8.3 peratus kepada RM66.1 bilion berbanding 11.1 peratus atau RM61 bilion.

Bagi kumpulan perkhidmatan perantara, ia dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus berbanding 4.6 peratus pada 2015 dan disokong oleh subsektor kewangan dan insurans yang dijangka mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.3 peratus pada tahun ini berbanding penurunan sebanyak 0.7 peratus (-0.7 peratus).

"Kumpulan perkhidmatan perantara juga akan disokong oleh penyumbang utama pertumbuhan, iaitu subsektor harta tanah dan perkhidmatan perniagaan serta subsektor maklumat dan komunikasi," kata laporan itu.

Bagaimanapun, pertumbuhan bagi subsektor harta tanah dan perkhidmatan perniagaan dijangka tidak berubah pada 6.6 peratus, manakala subsektor maklumat dan komunikasi akan merekodkan pertumbuhan tahunan sebanyak 9.4 peratus.

Subsektor harta tanah dan perkhidmatan perniagaan berkembang 6.6 peratus dalam tempoh separuh pertama 2016 berbanding 6.8 peratus pada 2015, dipacu oleh aktiviti perkhidmatan perniagaan yang meningkat 7.6 peratus berikutan permintaan yang lebih tinggi bagi perkhidmatan profesional.

Sementara itu, segmen harta tanah terus berkembang walaupun pada kadar lebih perlahan sebanyak 4.5 peratus jika dibandingkan dengan 5.4 peratus pada separuh pertama 2015 terutamanya disebabkan oleh transaksi harta kediaman dan perdagangan lebih rendah.

Subsektor maklumat dan komunikasi terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 8.7 peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2016 berbanding 9.4 peratus sebelumnya.

Segmen komunikasi kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan dengan mengekalkan kadar pertumbuhan 10.1 peratus sejak separuh pertama 2015.

"Subsektor perkhidmatan kerajaan dijangka berkembang 6.5 peratus berbanding empat peratus pada 2015," kata laporan itu.

Subsektor tersebut meningkat 5.1 peratus dalam tempoh separuh pertama 2016 berikutan peningkatan emolumen berbanding 3.9 peratus pada separuh pertama 2015.

Keseluruhannya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada keadaan tidak menentu luaran termasuk pertumbuhan lebih perlahan dalam kalangan ekonomi maju, harga minyak berterusan rendah dan ketidaktentuan pasaran kewangan antarabangsa.

Bagaimanapun, pembaharuan struktur ekonomi, kewangan dan fiskal yang dilaksanakan selama ini telah menyediakan penampan yang mencukupi untuk menangani cabaran luar.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA