#Bajet2017: Program Impak Tinggi Dilaksana Pastikan Bekalan Makanan Mencukupi

KUALA LUMPUR: Pelbagai program berimpak tinggi penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta penternakan ikan dalam sangkar dilaksanakan di tiga negeri bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan mampu dibeli rakyat.

Program berkenaan turut membuka peluang-peluang pekerjaan, sekali gus menjana pendapatan rakyat.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, sebanyak RM37.3 juta dibelanjakan sehingga akhir Ogos tahun ini bagi pelaksanaan program berimpak tinggi di Lahad Datu, Sabah; Tasik Temenggor, Perak dan Kota Tinggi, Johor.

Sasaran pengeluaran di bawah program itu ialah 67,307 tan metrik dan mewujudkan 2,038 peluang pekerjaan baharu menjelang 2020 berbanding pengeluaran semasa 8,493 tan metrik dan 466 peluang pekerjaan.

Kerajaan juga menaik taraf sistem pengairan dan saliran di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk padi serta melindungi kawasan pertanian daripada banjir, kata laporan itu.

Antara inisiatif itu ialah pemodenan sistem pengairan padi, pembangunan Program Sumber Air serta program tebatan banjir bagi kawasan pertanian di tujuh kawasan IADA sedia ada dan juga di empat IADA baharu di Pekan dan Rompin, Pahang; Kota Belud, Sabah dan Batang Lupar, Sarawak.

Setakat Ogos, RM114.7 juta dibelanjakan untuk inisiatif berkenaan.

Menurut laporan itu, RM70 juta subsidi diperuntukkan kerajaan untuk input pertanian, termasuk baja dan racun perosak bagi meningkatkan pengeluaran padi bukit serta menambah pendapatan para petani padi bukit di Sabah dan Sarawak.

Insentif berkenaan merangkumi kawasan seluas 71,000 hektar masing-masing 60,000 hektar dan 11,000 hektar di Sarawak serta Sabah.

Setakat akhir Ogos 2016, RM17.6 juta telah dibelanjakan dan memanfaatkan 16,154 petani.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA