#Bajet2017 : Program Biasiswa Diteruskan Bagi Mantapkan Pendidikan Tinggi


Kuala Lumpur : Program biasiswa di bawah pelbagai kementerian diteruskan oleh kerajaan dalam usaha memantapkan sektor pendidikan tinggi negara.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, sebanyak RM684 juta telah diagihkan kepada 48,830 pelajar bagi pelbagai biasiswa di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga Ogos tahun ini.

Antara program di bawah JPA ialah Program Biasiswa Nasional, Program Kejuruteraan Khas, Program Bursary, Program Pasca Bursary, Program Ijazah Dalam Negara, yang disediakan dalam bentuk pinjaman boleh ubah dan Program Dermasiswa B40, yang merupakan biasiswa penuh.

Laporan itu turut menyebut sebanyak RM133.1 juta telah diagihkan kepada 159,483 pelajar bagi biasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang melibatkan Program Biasiswa Persekutuan, Program Bursary dan Program Pelajar Cemerlang.

Bagi program biasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi pula, sebanyak RM62.2 juta telah diagihkan kepada 2,307 pelajar melalui Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB), Sub Kepakaran dan Pasca Doctoral (SKDP), 'My Brain Science', Biasiswa Sukan dan Biasiswa Komanwel, juga bagi tempoh sama.

Biasiswa Kementerian Kesihatan yang memberi keutamaan kepada pegawai perubatan dan pelatih paramedik telah mengagihkan sebanyak RM153.5 juta kepada 3,822 pegawai perubatan dan 14,884 pelatih paramedik.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA