Bajet2017: Peruntukan Perolehan Kapal Peronda Dan Naik Taraf Fasiliti Di ESSZone

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan tumpuan kepada isu keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) termasuk penyediaan peruntukan bagi perolehan kapal peronda dan menaik taraf fasiliti di zon berkenaan yang sering berlaku kes jenayah rentas sempadan termasuk penculikan.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, peruntukan untuk ESSZone itu merupakan antara RM4.1 bilion yang diberikan untuk subsektor pertahanan pada 2016.

Pada 25 Mac 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pewujudan ESSZone di 10 kawasan di timur Sabah bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu berikutan pencerobohan pengganas dari selatan Filipina beberapa bulan sebelum itu.

Zon tersebut merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Menurut laporan ekonomi itu lagi, secara keseluruhan perbelanjaan bagi sektor keselamatan bagi tahun 2016 dianggarkan sebanyak RM5 bilion atau 11.2 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan berbanding RM4.17 bilion atau 11.7 peratus pada 2015.

Sebanyak RM0.9 bilion lagi diperuntukkan untuk meningkatkan subsektor keselamatan dalam negeri terutama bagi perolehan helikopter untuk Polis Diraja Malaysia.

Ia juga termasuk bagi menaik taraf sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sistem pengawasan di pusat pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara di seluruh negara.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA