#Bajet2017: Peruntuk Rm2.9 Bilion Untuk Memperkasa Agenda Bumiputera

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan bagi memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memperkasakan golongan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak sejak September 2009 sehingga Ogos lepas.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, bagi menggalakkan penyertaan ekonomi Bumiputera yang saksama dan mapan, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang ditubuhkan sejak 1 Sept 2009 telah mewujudkan lima dana, dengan RM300 juta tambahan diperuntukkan kepada dana tersebut pada 2016.

Kerajaan juga memperuntukkan RM150 juta kepada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bagi meningkatkan pemilikan ekuiti dan memperkukuhkan aktiviti keusahawanan dan perniagaan Bumiputera.

PHB merupakan penaja Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), dana amanah yang melabur terutamanya dalam hartanah di Malaysia, menerima aliran pendapatan sewa yang stabil daripada 15 hartanah komersial dan saiz dana terus meningkat daripada 2 bilion kepada 3.5 bilion unit pada tahun ini.

Menurut laporan itu, sejumlah RM150 juta turut diperuntukkan kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk melaksanakan pelbagai program termasuk Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), Institusi Keusahawanan Negara (Insken) dan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb).

Pada akhir Ogos lepas, sejumlah RM3.7 bilion diperoleh dari beberapa bank bagi kemudahan pembiayaan Teras, dan RM1.3 bilion diberi kepada 302 syarikat manakala Teraju menyediakan bantuan kewangan RM336.2 juta kepada 6,476 usahawan Bumiputera baharu dan sedia ada bagi perolehan peralatan, mesin pembungkusan dan modal kerja.

Sementara itu, Insken yang ditubuhkan pada 2014 telah melaksanakan 142 program yang memanfaatkan 11,684 peserta bagi tempoh yang sama selain memberi tumpuan terhadap program latihan keusahawanan kepada graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pada akhir Ogos 2016, seramai 111 pemenang daripada lapan pertandingan telah menerima geran berjumlah RM50.5 juta menerusi program Superb iatu pertandingan idea perniagaan inovatif yang diadakan pada setiap suku tahun dengan pemenang menerima geran bernilai sehingga RM500,000 yang disasarkan kepada 200 startup melibatkan peserta berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Dalam laporan itu, kerajaan juga memperuntukkan RM250 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dengan RM175 juta diagihkan kepada tujuh program, iaitu Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), PROSPER Runcit, PROSPER Pemborong, PROSPER Usahawan Muda, PROSPER Hartanah, Siswazah Perantis dan Pembangunan Latihan.

Pada akhir Ogos 2016, sejumlah RM142.1 juta disalurkan untuk pelbagai program termasuk Program Siswazah Perantis bagi melahirkan usahawan muda yang dinamik dan berdaya tahan dalam subsektor yang sama manakala Pembangunan Latihan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran keusahawanan dalam membangunkan dan meluaskan perniagaan.

Menurut laporan itu, sejumlah RM23.3 juta dibelanjakan daripada peruntukan RM51.4 juta pada akhir Ogos lepas bagi tiga skim pendidikan Bumiputera membantu pelajar daripada isi rumah miskin iaitu program Peneraju Tunas Azam, Peneraju Tunas Geliga dan Peneraju Tunas Potensi.

Di peringkat pertama, seramai 323 pelajar mendapat manfaat program Peneraju Tunas Azam yang menempatkan pelajar dengan pencapaian akademik yang lemah di asrama berpusat untuk menghadiri sekolah rendah dan menengah setakat akhir Ogos lepas.

Di peringkat kedua, Peneraju Tunas Geliga yang menempatkan pelajar dengan keputusan akademik sederhana dalam ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah berasrama penuh atau sekolah harian bermula September lepas.

Di peringkat ketiga adalah Peneraju Tunas Potensi bagi pelajar dengan pencapaian akademik sederhana dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diberi peluang melanjutkan pengajian tinggi di universiti tempatan dan luar negara melibatkan 177 pelajar bermula Mac lepas.

Menurut laporan itu, sejumlah RM10.3 juta dibelanjakan daripada RM50.3 juta dalam program Peneraju Skil, satu skim bukan akademik bagi belia termasuk pelajar tercicir untuk dilatih, yang memanfaatkan 993 peserta manakala program Peneraju Profesional, satu usaha meningkatkan kemahiran bakat, RM20.3 juta dibelanjakan daripada peruntukan RM31.8 juta yang memanfaatkan 743 peserta.

Bagi terus memperkukuh masyarakat Bumiputera, kerajaan melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus menyediakan tajaan pendidikan kepada seramai 72,000 pelajar Bumiputera di peringkat pengajian tinggi di universiti dan kolej tempatan serta luar negara.

Bagi tujuan ini, RM1.8 bilion diperuntukkan dan pada akhir Ogos 2016, sejumlah RM1.7 bilion telah dibelanjakan, menurut laporan itu.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA