#Bajet2017 : Pertumbuhan Ekonomi Global Dijangka Kukuh Tahun Depan Namun Risiko Tetap Wujud



Kuala Lumpur : Pertumbuhan ekonomi global dijangka berkembang 3.4 peratus pada tahun depan, berbanding 3.1 peratus pada 2016, disumbang oleh pertumbuhan lebih baik di Amerika Syarikat (AS) serta prestasi lebih kukuh di pasaran membangun yang berkembang pesat dan ekonomi membangun.

Walaupun pertumbuhan global bertambah baik, risiko dijangka masih wujud dalam ekonomi dunia, menurut Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Laporan itu yang dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

AS diunjur mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 2.2 peratus berbanding 1.6 peratus, disokong oleh pelaburan perniagaan dan pasaran perumahan yang lebih kukuh.

Kawasan euro dijangka mencatat pertumbuhan sederhana pada 1.5 peratus berbanding 1.7 peratus, disebabkan oleh ketidaktentuan Brexit yang boleh menjejaskan keyakinan perniagaan dan pengguna, menurut laporan itu.

Pertumbuhan ekonomi United Kingdom (UK) juga dijangka lebih perlahan pada 1.1 peratus berbanding 1.8 peratus.

Laporan itu menyatakan, ekonomi Jepun diunjur berkembang 0.6 peratus berbanding 0.5 peratus akibat kenaikan cukai penggunaan yang ditangguhkan dari April 2017 kepada Oktober 2019, serta pelaksanaan langkah fiskal dan monetari yang lain.

Pertumbuhan di pasaran membangun yang berkembang pesat dan ekonomi membangun dijangka meningkat 4.6 peratus berbanding 4.2 peratus, disokong oleh prestasi kukuh China dan India serta ekonomi ASEAN, menurut laporan itu.

China diunjur mencatat pertumbuhan 6.2 peratus berbanding 6.6 peratus, dipacu oleh penggunaan domestik yang mapan dan perkembangan berterusan sektor perkhidmatan berikutan inisiatif kerajaan untuk mengimbangi semula ekonomi.

India pula dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan 7.6 peratus berbanding 7.6 peratus, disumbang oleh penggunaan swasta dan sektor perkhidmatan yang kukuh.

ASEAN dijangka mencatat pertumbuhan lebih tinggi pada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan infrastruktur.

Bagaimanpun, laporan itu berkata kemungkinan penurunan mendadak ekonomi China boleh menjejaskan negara yang mempunyai hubungan kewangan, perdagangan dan pelaburan erat dengan China.

Kesan Brexit boleh menjadi lebih buruk daripada jangkaan, terutama di kawasan euro dan UK serta kemungkinan kesan limpahan ke atas ekonomi global, kata laporan itu.

Risiko lain termasuk turun naik dalam pasaran kewangan global dan aliran modal, harga komoditi yang berterusan rendah, perdagangan global yang lembab, tekanan mata wang, inflasi rendah yang berpanjangan serta ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Sementara itu, laporan itu berkata inflasi di ekonomi maju dijangka meningkat kepada 1.7 peratus berbanding 0.8 peratus berikutan penggunaan swasta yang lebih tinggi.

Namun begitu, harga komoditi yang rendah diunjur dapat mengurangkan sedikit kadar inflasi kepada 4.4 peratus berbanding 4.5 peratus dalam pasaran membangun yang berkembang pesat dan ekonomi membangun, menurut laporan itu.

Mengenai perdagangan dunia, laporan itu berkata perdagangan dunia dijangkakan berkembang 3.8 peratus berbanding 2.3 peratus selaras dengan permintaan global lebih baik, terutama di AS serta pasaran membangun yang berkembang pesat dan ekonomi membangun seperti China, India dan ASEAN.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA