#Bajet2017 : Permintaan Domestik Malaysia Kembang Pesat, Kekal Pacu Pertumbuhan 2016



Kuala Lumpur : Permintaan domestik Malaysia yang berkembang kukuh pada 4.7 peratus terus kekal memacu pertumbuhan negara bagi 2016, disokong terutamanya perbelanjaan sektor swasta yang dijangka berkembang 5.9 peratus.

Perbelanjaan sektor awam pula dijangka meningkat secara marginal 0.8 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2015.

"Berikutan penggunaan isi rumah dan jumlah pelaburan kekal berdaya tahan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang antara empat peratus dan 4.5 peratus pada 2016," menurut Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Laporan itu dikeluarkan Kementerian Kewangan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di di Dewan Rakyat hari ini.

Ia menambah, pelaburan swasta akan kekal berdaya tahan, mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada 2016, disokong persekitaran perniagaan menggalakkan dan inisiatif pro-perniagaan berterusan oleh kerajaan.

Dalam perkembangan yang sama, Malaysia terus menerima aliran masuk bersih pelaburan asing langsung (FDI) berjumlah RM23.8 bilion dalam tempoh separuh pertama 2016 berbanding RM26.7 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut laporan berkenaan.

"Penyumbang utama FDI ialah Hong Kong (57.3 peratus), Singapura (18.3 peratus), United Kingdom (6.7 peratus) dan Jepun (6.6 peratus) dengan sebahagian besar aliran masuk FDI disalurkan ke dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan," menurutnya.

Selain itu, pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama 2016 berjumlah RM88.5 bilion melibatkan 2,499 projek, terutamanya dalam industri hartanah, perkhidmatan kewangan serta elektrik dan elektronik, kata laporan itu.

Pelabur domestik menyumbang 68.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, menurut laporan berkenaan.

Menyentuh mengenai pelaburan awam, ia dijangka kembali pulih 1.7 peratus terutamanya disokong perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan yang lebih tinggi dan perbelanjaan modal syarikat awam yang berterusan.

"Perbelanjaan pembangunan diunjur berkembang 10.4 peratus berbanding 3.2 peratus tahun lepas dengan sebahagian besarnya (61.4 peratus) disalurkan ke dalam sektor ekonomi," tambah laporan itu.

Syarikat awam, khususnya Petronas, Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd dijangka meningkatkan pelaburan untuk pengembangan kapasiti dan menaik taraf perkhidmatan.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA