#Bajet2017 : Pengecualian Duti Stem Formula Tepat Bagi Pembeli Rumah Pertama



KUALA LUMPUR - Pengecualian duti stem adalah formula cemerlang untuk membantu pembeli rumah membeli kediaman pertama mereka kerana ia tidak akan membebankan mereka, kata Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).

"Dalam keadaan harga jualan ialah RM300,000, penjimatan adalah seperti berikut. Instrumen pindahan RM5,000 dan kemudahan pinjaman RM1,500. Ini adalah agak banyak, kata Setiausaha Agungnya Chang Kim Loong.

Beliau juga berkata kenaikan duti stem untuk hartanah melebihi RM1 juta juga merupakan satu langkah tepat untuk mereka yang berada membayar cukai yang lebih dan patut menyumbang kepada pendapatan negara.

HBA berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengambil lebih banyak inisiatif untuk membina lebih banyak rumah mampu milik tetapi ia mahukan kerajaan memberikan perhatian lebih dalam soal pelaksanaan.

Ini terutamanya bagi memastikan rumah mampu milik dibina dilokasi yang betul dan pada harga yang berpatutan antara RM150,000 hingga RM300,000 dan tidak melebihi RM300,000 untuk lokasi utama.

"Mereka perlu memastikan ia hanya untuk pembeli kali pertama dan bukan untuk pembeli rumah kali kedua," katanya.

Dalam Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, beliau mengumumkan satu skim pembayaran akhir jenis step-up untuk program PR1MA, yang mana pembiayaan lebih mudah untuk diperoleh oleh pembeli dengan jumlah pinjaman mencecah 90 hingga 100 peratus.

"Kita perlu memastikan pembeli rumah kali pertama mempunyai kemahiran pengurusan kewangan yang mencukupi dan pemilik rumah tidak berakhir sebagai penghuni setinggan," katanya.

HBA gembira kerana kerajaan mengekalkan pemansuhan Skim Faedah Pemaju (DIBS) sejak diumumkan pada Bajet 2016 yang mana DIBS didakwa tidak dapat mengawal lonjakan harga rumah.

Bagaimanapun, HBA kecewa kerana tiada pengumuman tentang konsep Bina Kemudian Jual (BTS) 10:90 di bawah kategori mampu milik walaupun cadangan mereka diterima .

BTS atau Bina Kemudian Jual 10:90 adalah sistem yang mana pemaju hanya menjual rumah dengan pembeli membayar deposit 10 peratus dan kemudian baki 90 peratus selepas rumah siap lengkap dengan Sijil Layak Menduduki.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA