#Bajet2017: Pembangunan Berterusan Untuk Sabah Dan Sarawak

KUALA LUMPUR: Sejajar dengan usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan sama ada dari segi pembangunan fizikal dan sosial dengan Semenanjung, beberapa usaha pembangunan di Sabah dan Sarawak terus rancak dilaksana.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, projek seperti Lebuhraya Pan Borneo dari Teluk Melano ke Miri di Sarawak sepanjang 1,089km sedang dilaksanakan dan sehingga akhir Ogos 2016, jalan sepanjang 270km telah siap dibina.

Bagi Sabah, kerja pembinaan bagi lebuh raya sepanjang 1,236km dari Sindumin ke Tamparuli, Tuaran ke Kudat dan Ranau ke Tawau sedang dilaksanakan dan sehingga akhir Ogos tahun ini, jalan sepanjang 117km telah siap dibina.

Selain itu, usaha juga sedang dilaksanakan untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di beberapa lapangan terbang, termasuk Mukah di Sarawak.

Kerja tanah di lapangan terbang Mukah di Sarawak telah siap pada September lepas dan fasa kedua yang melibatkan pembinaan terminal baharu, landasan dan kemudahan lain yang berkaitan sedang dalam peringkat prapembinaan dan dijangka dilancarkan pada Februari 2017.

Selain itu, di bawah inisiatif Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) yang melibatkan pemasangan kabel gentian optik dasar laut, pembinaan Pusat Pendaratan Kabel Dasar Laut (SCLC) dan kerja lain yang berkaitan untuk menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah bermula pada 2014 dan dijangka siap pada 2017.

Bagi merancakkan pelaburan domestik, Taman Perindustrian Samalaju (SIP) seluas 8,000 hektar di Bintulu, Sarawak juga sedang dibangunkan dengan kemudahan dan utiliti seperti pelaburan laut dalam, bekalan kuasa yang stabil, jalan pesisiran pantai dan loji rawatan kumbuhan.

Taman ini memberi tumpuan kepada industri baharu berintensif tenaga dan aktiviti hiliran lain.

Pada akhir Ogos 2016, sebanyak RM1.7 bilion telah dibelanjakan bagi projek ini dan dijangka siap menjelang 2018. Sejak 2009, SIP telah menarik pelaburan sebanyak RM70 bilion serta mewujudkan 50,000 pekerjaan.

Sebanyak RM20 juta juga diperuntukkan bagi projek Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan, Sabah bagi memudahkan eksport dan import produk berkaitan kelapa sawit. Projek pembinaan dijangka bermula pada November ini (2016) dan siap pada September 2018.

Selain itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi serta melindungi kawasan pertanian daripada banjir seperti di Kota Belud, Sabah dan Batang Lupar, Sarawak, sebanyak RM114.7 juta telah dibelanjakan.

Dalam masa yang sama, subsidi sebanyak RM70 juta diberikan bagi input pertanian, termasuk baja dan racun perosak selain untuk meningkatkan pendapatan para petani padi bukit di Sabah dan Sarawak.

Insentif meliputi keluasan 71,000 hektar dengan 60,000 hektar di Sarawak dan 11,000 hektar di Sabah dan sehingga akhir Ogos lepas, sejumlah RM17.6 juta telah dibelanjakan yang memanfaatkan 16,154 petani.

Program Khas Bertujuan Untuk Pengayaan Komuniti (SPICE) untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di Sabah dan Sarawak turut dilaksanakan dengan kursus ditawarkan disesuaikan dengan keperluan industri tempatan.

Program disasarkan kepada isi rumah B40, lepasan sekolah dan bakal usahawan telah dimulakan di Sarawak pada 23 April 2016 dengan 50 pelatih. Sehingga akhir Ogos 2016, sebanyak 15 kursus telah dijalankan yang memanfaatkan 4,843 peserta.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA