#Bajet2017 : Pelbagai Usaha Tingkatkan Kualiti Hidup B40



KUALA LUMPUR – Kerajaan memberikan tumpuan kepada meningkatkan kualiti hidup kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) melalui pelbagai usaha.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, sebanyak RM500 juta diperuntukkan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) yang memanfaatkan usahawan Bumiputera dan usahawan masyarakat India tempatan.

Antara kemudahan yang disediakan Tekun Nasional adalah pembiayaan mikro termasuk Tekun Niaga, Teman Tekun dan Tekun I-Factoring kepada usahawan Bumiputera berskala kecil.

Sementara itu, Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia (YPPKM) yang ditubuhkan pada Februari 2015 telah mengeluarkan pinjaman RM16 juta yang dimanfaatkan oleh 1,100 penjaja dan peniaga kecil seluruh negara setakat akhir Ogos 2016.

Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat Orang Asli, RM300 juta diperuntukkan bagi pembasmian kemiskinan dan kebajikan. Sehingga Ogos lepas, Kerajaan membelanjakan RM75.7 juta untuk memperbaiki infrastruktur asas termasuk pembinaan jalan raya, sekolah, rumah, pusat sehenti dan kemudahan awam serta bekalan elektrik.

Dalam pada itu, bagi membolehkan isi rumah B40 memperoleh pendapatan lebih tinggi, RM50 juta diperuntukkan untuk Program Latihan Kerjaya dan Kemahiran serta Program Peningkatan Pendapatan.

Melalui Program Peningkatan Pendapatan, sejumlah RM34.8 juta dibelanjakan dan dimanfaatkan 4,493 peserta sehingga akhir Ogos lepas.

Kerajaan juga memperuntukkan RM1.6 bilion bagi inisiatif pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred bagi penjawat awam yang berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Inisiatif itu dimanfaatkan oleh 1.6 juta penjawat awam, 252 skim perkhidmatan, 50,000 pesara dan 10,000 pegawai kontrak.

Menurut laporan itu, dalam meningkatkan pendapatan pesawah, Kerajaan telah menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dari RM248.10 kepada RM300 bagi setiap tan metrik.

Inisiatif ini membolehkan 197,789 petani memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM296.50 setiap musim, kata laporan itu.

Kerajaan juga telah menambah baik insentif pengeluaran getah (IPG) dengan kenaikan harga pengaktifan IPG kepada RM5.50 sekilogram bagi SMR20 (F.o.b) atau RM2.20 sekilogram untuk getah sekerap.

Melalui inisiatif ini, pekebun kecil dengan saiz pegangan purata 2.2 hektar dan pengeluaran tahunan sebanyak 3,000 kilogram sehektar cup lumps atau getah beku kini memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,210 berbanding RM1,100 sebelum ini. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA