#Bajet2017: Malaysia Perlu Tingkat Penggunaan Teknologi & Tambah Pelaburan Modal Insan

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meningkatkan tahap penggunaan teknologi dan inovasi serta menambah pelaburan untuk modal insan di samping penyelidikan bagi mencapai tahap rantaian nilai sektor pembuatan yang lebih tinggi, menurut Laporan Ekonomi 2016/2017.

Usaha tersebut membolehkan sektor pembuatan negara berkembang 5.1 peratus setahun dan menyumbang 22.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta 18.2 peratus daripada jumlah guna tenaga menjelang 2020, menurut laporan itu.

"Pertumbuhan ini sebahagian besarnya akan disumbang oleh subsektor pembuatan yang bernilai tinggi," menurut laporan itu yang dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan tersebut mengatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan selama separuh abad, dipacu oleh sektor pembuatan.

Pentingnya sektor pembuatan kepada ekonomi terbukti melalui sumbangannya kepada KDNK, eksport dan penyediaan pekerjaan.

Pada 2015, sektor ini menyumbang 23 peratus kepada KDNK, 80.2 peratus kepada jumlah eksport kasar dan 16.5 peratus daripada jumlah tenaga kerja, katanya.

"Bagaimanapun, sektor ini menghadapi persaingan daripada pengeluar kos rendah di rantau ini seperti China dan Vietnam.

"Justeru, kerajaan telah mengenal pasti subsektor berpotensi dalam pembuatan bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, teknologi hijau dan peralatan perubatan," katanya.

Pada 2015, nilai tambah industri E&E mencatat RM64.6 bilion manakala pelaburan yang diluluskan bagi E&E sebanyak RM8.9 bilion, melepasi sasaran RM5.1 bilion.

Pada akhir 2015, pelaburan dalam industri aeroangkasa sebanyak RM5 bilion, dengan 98 peratus merupakan sumber domestik.

Teknologi Hijau, sebuah industri pertumbuhan baharu dalam sektor pembuatan, dijangka menyumbang RM22.4 bilion kepada KDNK, RM28 bilion pelaburan dan menyediakan 144,590 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Laporan itu menyebut sehingga 2015, industri peralatan perubatan terdiri daripada lebih 190 syarikat yang dikuasai oleh perusahaan kecil dan sederhana.

"Industri peralatan dijangka menyumbang RM17.1 bilion pendapatan, RM11.4 bilion kepada PNK dan menjana 86,000 peluang pekerjaan menjelang 2020," kata laporan itu.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA