#Bajet2017 : Malaysia Dijangka Dapat Manfaat Daripada Norma Ekonomi Baharu Di China



Kuala Lumpur : Malaysia akan mendapat manfaat daripada norma ekonomi baharu di China, terutama melalui perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik, menurut Laporan Ekonomi 2016/2017.

Laporan itu yang dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru itu, pengeksport Malaysia perlu pantas dan berupaya menyesuaikan dengan peralihan struktur dalam pasaran China bagi memanfaatkan peluang yang ada.

Kerajaan melalui Majlis Eksport Negara (NEC) telah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan perdagangan dengan China, termasuk mendapat manfaat pasukan petugas pemudahcara perdagangan yang telah diwujudkan di bawah rancangan lima tahun Malaysia-China (2013-2017), kata Laporan Ekonomi 2016/2017.

Laporan itu menyatakan, rancangan tersebut bertujuan mempermudah akses pasaran, menjalin kerjasama dengan syarikat milik kerajaan China untuk meningkatkan peluang bagi syarikat Malaysia menjadi sebahagian daripada rangkaian bekalan China, serta meneroka peluang perdagangan timbal balik dengan China, menggiatkan aktiviti promosi dan penjenamaan barangan peringkat kedua dan ketiga di China.

Pada November 2016, Program Promosi Malaysia khas akan juga dilancarkan di Shanghai sebagai platform strategik untuk meningkatkan penjenamaan produk dan perkhidmatan Malaysia," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, strategi NEC juga memberi tumpuan kepada peluang yang terdapat dalam sektor perkhidmatan dan aktiviti berkaitan penggunaan, memandangkan golongan kelas pertengahan di China semakin bertambah dan lebih berkemampuan.

"Antara produk dan perkhidmatan berpotensi untuk dieksport ke China adalah penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan bahasa, perkhidmatan alam sekitar, aeroangkasa, robotik, automotif, ramuan halal, produk elektrik dan elektronik, jimat tenaga, bahan binaan dan kelengkapan dalaman berkualiti, produk gaya hidup seperti pakaian fesyen, kosmetik, produk mandian, barangan hijau dan organik serta hasil pertanian.

"Oleh itu, pengeluar dan penyedia perkhidmatan tempatan perlu mencari peluang untuk menawarkan produk baru bagi memenuhi permintaan pengguna China dan korporat," katanya.

Norma ekonomi baharu di China adalah peralihan dasar daripada aktiviti eksport, pembuatan dan pelaburan ke arah ekonomi yang berasaskan domestik, perkhidmatan dan penggunaan, yang akan menyebabkan kadar pertumbuhan yang lebih rendah berbanding pengembangan dua angka dalam beberapa dekad sebelumnya.

Malaysia, katanya, akan turut menerima kesan daripada kelembapan ekonomi China melalui saluran perdagangan, kewangan dan komoditi.

Menurut laporan itu, walaupun pengimbangan semula China menimbulkan beberapa risiko dalam tempoh terdekat, corak peralihan penggunaan dan perdagangan dijangka menyediakan peluang yang penting bagi ekonomi Malaysia dalam jangka masa pendek dan panjang.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA