#Bajet2017 : Kerajaan Peruntukkan RM41.3 Bilion Bagi Mantapkan Kualiti Pendidikan



Kuala Lumpur : Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM41.3 bilion bagi membina 30 sekolah rendah, 27 sekolah menengah dan lima sekolah berasrama penuh, empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta penyediaan kemudahan asas dan infrastruktur, sepanjang tahun ini.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, peruntukan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 itu bertujuan untuk memantapkan kualiti pendidikan dan memperkasa modal insan yang merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan pendidikan kepada sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah agama, sekolah berasrama penuh, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah pondok berdaftar dan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina atau sekolah Pematuhan.

Pada masa sama, kerajaan juga telah menjalankan pelbagai program di prasekolah termasuk Program Pendidikan Prasekolah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bertujuan meningkatkan kadar kemasukan ke prasekolah kebangsaan dan meningkatkan kualiti keseluruhan pendidikan prasekolah.

Sementara itu, RM12.9 juta telah diperuntukkan bagi Geran Per Kapita Prasekolah, manakala RM66.6 juta untuk program Bantuan Makanan Prasekolah dan RM3.2 juta bagi program Bantuan Kokurikulum Prasekolah pada akhir Ogos tahun ini.

Program-program tersebut telah memberi manfaat kepada 200,699 kanak-kanak prasekolah di 6,048 sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Selain itu, sejumlah RM324.5 juta diagihkan kepada 3.2 juta pelajar seluruh negara sehingga Ogos lepas bagi meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan bagi isi rumah berpendapatan bulanan di bawah RM3,000.

Kerajaan juga telah membelanjakan sejumlah RM315.7 juta untuk program makanan tambahan yang pada mulanya disediakan pada waktu rehat ditambah kepada sarapan pagi untuk pelajar daripada keluarga miskin yang memanfaatkan 547,110 pelajar di seluruh negara.

Di samping itu, RM250 Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) telah disediakan untuk 1.2 juta pelajar di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta termasuk pelajar prauniversiti.

Bagi memartabatkan Bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaaan Bahasa Inggeris pula, beberapa langkah telah diperkenalkan termasuk transformasi kurikulum, pembinaan keupayaan dan khidmat perunding, pakar-pakar dan pembantu guru.

Seramai 100 Pembantu Pengajar English Fulbright dari Universiti Amerika telah ditempatkan ke 100 buah sekolah di Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu, sehingga Ogos lepas.

Laporan itu juga turut menyebut bahawa seramai 170 guru di sekolah menengah atas di semua negeri dijadualkan menghadiri Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah (PPKBIS) sebagai langkah meningkatkan kadar kelulusan bahasa itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP) juga telah diperkenalkan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Sehingga Ogos tahun ini, sejumlah RM4.6 juta telah dibelanjakan untuk DLP melibatkan 296 sekolah harian, 15 sekolah agama dan 68 sekolah berasrama penuh.

Program HIP pula diperluaskan ke 1,106 buah sekolah lagi setelah program perintisnya dilaksanakan di 94 buah sekolah di Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Sementara sejumlah RM3.9 bilion telah disalurkan bagi subsektor pendidikan dan latihan, di bawah perbelanjaan sektor sosial yang merupakan komponen kedua terbesar dengan anggaran RM10.8 bilion.

Perbelanjaan bagi subsektor tersebut termasuklah untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), biasiswa, menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur di sekolah, pusat latihan kemahiran, kolej komuniti dan universiti.

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan Kolej Kemahiran Tinggi MARA di Selama, Perak, pembelian alat mengajar serta dana bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA