#Bajet2017: Kerajaan Fokus Empat Bidang Utama Kepentingan Inovasi, Teknologi Digital

KUALA LUMPUR: Mengakui kepentingan teknologi digital sebagai pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, kerajaan akan memberi fokus dalam empat bidang utama teknologi itu bagi memastikan agensi awam dan perniagaan menerima serta memanfaatkan inovasi dan gangguan digital.

Empat bidang berkenaan adalah Internet of Thing (IoT), Big Data and Analytics Data (BDA), Pengkomputeran Awan dan E-Dagang, demikian menurut Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Bagi mencapai objektif ini, Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) telah dilancarkan pada 2010 bagi memastikan rakyat terutamanya golongan di kawasan luar bandar, pelajar sekolah dan golongan berpendapatan rendah mempunyai akses dan mampu menggunakan Internet berkelajuan tinggi.

Sehingga 2015, sejumlah 77.3 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

Inisiatif seperti Pusat Internet 1Malaysia, Pusat Mini Komuniti Jalur Lebar dan Program eRezeki dan eUsahawan dilaksanakan kerajaan bagi mengukuhkan jaringan di luar bandar.

Bagi mengekalkan daya saing dalam kegiatan Ekonomi Berhubung Kait, Malaysia membuat pelaburan besar bagi membentuk, menarik dan mengekalkan bakat melalui inisiatif seperti Digital.Tech@Schools, Digital Maker Movement, koloborasi institusi terkenal seperti Coursera dan John Hopkins University serta program Koridor Raya Multimedia bagi mempermudah pengambilan pegawai dagang dan bakat global berpangkalan di Malaysia.

Di Malaysia, terdapat 21 juta pengguna Internet dengan kadar penembusan telefon mudah alih mencecah 143.8 peratus daripada jumlah populasi.

Internet kini menjadi platform jaringan maya paling berkuasa menghubungkan penjual dan pembeli. Pada 2015, terdapat 3.4 bilion pengguna Internet di peringkat global dan dijangka meningkat kepada sembilan bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Aliran data daripada aplikasi seperti Facebook, Airbnb dan Uber yang mewujudkan komuniti maya lebih besar berbanding jumlah penduduk di sebilangan negara, penting bagi aktiviti perdagangan, inovasi, keusahawanan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran rakyat.

Manfaat yang diperoleh daripada pengaliran data berkenaan menjana inovasi dalam bidang seperti 'kecerdasan buatan (artificial intelligence'), robotik IoT, kenderaan tanpa pemandu, percetakan 3-D, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penstoran tenaga dan pengkomputeran kuantum.

Gangguan inovasi seperti Uber, Skype, Spotify dan Alibaba semakin berkembang di peringkat global dan menyebabkan model perniagaan tradisional tidak relevan.

Akses dan pengeluaran jalur lebar adalah elemen penting dalam kegiatan Ekonomi Berhubung Kait kerana kemudahan jalur lebar akan meningkatkan penggunaan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi seterusnya merangsang produktiviti dan melonjakkan daya saing negara.

Beberapa cabaran utama dalam mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara Ekonomi Berhubung Kait adalah seperti kekurangan penggunaan teknologi dalam kalangan Perusahan Kecil dan Sederhana, jurang digital kawasan bandar dan luar bandar, kos yang tinggi serta kelajuan Internet yang perlahan.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA