#Bajet2017 : Kerajaan Bentang Bajet Yang Bertanggungjawab Dan Lindungi Kebajikan Rakyat Walaupun Hadapi Cabaran Luar


Kerajaan akan membentangkan bajet yang bertanggungjawab untuk tahun depan, yang akan mengambil kira keperluan semua segmen masyarat dan menunaikan janji pilihan raya yang dibuat kepada rakyat, kata seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau berkata keutamaan akan diberikan kepada perkongsian kekayaan negara kepada rakyat, menawarkan peluang yang lebih besar dalam meningkatkan pendapatan menerusi peningkatan produktiviti, bekerja dari rumah serta mengurangkan beban kewangan dengan meningkatkan kuasa membeli.

Pegawai itu juga menolak tanggapan bahawa Bajet 2017 merupakan bajet pilihan raya.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan akan memberi tumpuan untuk menunaikan janji kepada rakyat, dari segi manfaat, perkhidmatan dan transformasi dalam bidang seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Beliau berkata selain kenaikan satu tangga gaji yang sudah dijangkakan kepada sektor awam tahun ini, lebih 1.6 juta penjawat kerajaan itu juga akan menerima 'manfaat tambahan'.

Secara keseluruhan, 'tidak ada langkah 'menyusahkan' dalam bajet," katanya pada taklimat media mengenai Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat esok.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata Bajet 2017 akan bersandarkan harga purata minyak mentah sebanyak US$45 setong yang merupakan pendirian konservatif kerajaan walaupun harga kini sekitar US$52.

Ditanya mengenai kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata kutipan dijangkakan melepasi sasaran berdasarkan kutipan sehingga September tahun ini, hasil daripada pematuhan dan penerimaan yang lebih baik.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA