#Bajet2017 : Kerajaan Akan Terus Bantu MTC Kukuhkan Teras Perniagaan, Pacu Pertumbuhan Eksport



Kuala Lumpur : Kerajaan akan terus membantu syarikat peringkat pertengahan atau 'mid-tier companies' (MTC) untuk mengukuhkan perniagaan teras dan memacu pertumbuhan eksport, menurut Laporan Ekonomi 2016/2017.

Antara inisiatif yang diambil kerajaan ialah menubuhkan Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) dua tahun lepas yang bertujuan meningkatkan potensi eksport dan memberi sokongan mengikut kesesuaian MTC.

"Program ini menyediakan pelbagai maklumat pasaran dan kaedah penyelesaian perniagaan kepada MTC. Ia akan turut membantu mereka menembusi pasaran baharu melalui kerjasama di antara penasihat, rakan niaga dan pengedar yang berpotensi," menurut laporan itu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Program itu juga membantu MTC untuk mendapat akses pembiayaan melalui pelabur asing dan tempatan, pemodal teroka dan institusi kewangan yang berpotensi, kata laporan itu.

MTC juga, dibantu untuk menggunakan teknologi baharu bagi meningkatkan inovasi, pertumbuhan dan pembangunan serta mendapatkan khidmat nasihat khusus daripada pakar pengurusan antarabangsa, kata laporan berkenaan.

Syarikat MTC merupakan syarikat yang mempunyai jualan tahunan antara RM50 juta dan RM500 juta bagi sektor pembuatan manakala antara RM20 juta dan RM500 juta bagi sektor perkhidmatan.

Selain menjadi syarikat pengeksport, MTC yang mempunyai 60 peratus pemilikan warga Malaysia, perlu mempunyai kadar pertumbuhan purata kumulatif melebih lima peratus bagi lima tahun dan terlibat dalam industri berimpak tinggi.

Menurut laporan itu, MTCDP dijangka menyumbang RM6 bilion kepada pendapatan negara kasar dan eksport sebanyak RM6 bilion menjelang 2020.

Pada tahun ini sebanyak 51 MTC telah terpilih untuk menyertai program Wave 3 yang meliputi lebih 16 industri utama, termasuklah makanan dan minuman, bangunan, bahan binaan dan perkakasan, pengangkutan dan peralatan; produk perabot dan tekstil, kata laporan itu.

"Setakat ini lebih daripada 40 MTC telah menjalani Fasa Diagnostik selama tiga bulan, di mana ia merangkumi beberapa siri aktiviti termasuk kaji selidik atas talian berkenaan kesediaan eksport, temuduga bersama pengurusan atasan dan klinik satu kepada satu bersama pakar industri," kata laporan itu.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA