#Bajet2017 : Hasil Kerajaan Meningkat 3.4 Peratus Kepada RM219.7 Bilion Pada 2017



Kuala Lumpur : Kutipan hasil kerajaan diunjurkan meningkat 3.4 peratus kepada RM219.7 bilion pada 2017, disumbangkan oleh hasil cukai yang lebih tinggi terutama menerusi cukai pendapatan syarikat, menurut Laporan Ekonomi 2016/2017.

Hasil bukan petroleum terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah hasil iaitu sebanyak 86.2 peratus, disumbang terutama oleh kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang lebih tinggi sebanyak RM40 bilion, menurut laporan itu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Defisit fiskal diunjur mengucup kepada 3.0 peratus tahun depan berbanding 3.1 peratus tahun ini, dengan pembaharuan sektor awam akan dipergiat untuk mengukuhkan lagi pengurusan fiskal dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, kata laporan itu.

"Kerajaan akan meneruskan usaha penyepaduan fiskal pada 2017, di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta melaksanakan program dan projek yang mengutamakan rakyat," menurut laporan berkenaan.

Laporan itu menyatakan perbelanjaan kerajaan persekutuan diunjurkan meningkat 3.4 peratus kepada RM260.8 bilion daripada RM252.1 bilion tahun ini, dengan 82.4 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) dan bakinya perbelanjaan pembangunan (DE).

Sejumlah RM77.4 bilion diperuntukkan bagi emolumen yang merupakan komponen terbesar OE manakala perbelanjaan tanggungan, termasuk bayaran khidmat hutang, bayaran persaraan serta pemberian kepada kerajaan negeri dianggar berjumlah RM58.7 bilion manakala bekalan dan perkhidmatan sebanyak RM32 bilion.

"Subsidi dan bantuan sosial akan terus disediakan dengan peruntukan sebanyak RM22.4 bilion," kata laporan itu.

Bagi perbelanjaan pembangunan, sejumlah RM46 bilion akan diperuntukkan pada 2017 dengan 56.2 peratus daripada peruntukan itu akan disediakan untuk sektor ekonomi, diikuti sektor sosial (26.5 peratus), sektor keselamatan (11.5 peratus) dan pentadbiran am (5.8 peratus).

Menurut laporan itu, peruntukan untuk sektor ekonomi akan digunakan terutama untuk menaik taraf infrastruktur fizikal seperti jalan raya dan pengangkutan awam untuk meningkatkan akses dan kesalinghubungan serta meningkatkan telekomunikasi dan infrastruktur tenaga, terutama di kawasan luar bandar.

Sejumlah RM12.2 bilion akan diperuntukkan kepada sektor sosial bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk RM5.9 bilion untuk pendidikan dan latihan dengan matlamat membangunkan masyarakat progresif dan inklusif, kata laporan itu.

RM1.5 bilion lagi disalurkan untuk menambah baik kemudahan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan RM900 juta lagi untuk subsektor perumahan.

Menurut laporan itu, sektor keselamatan yang meliputi pertahanan dan keselamatan dalam negeri akan diperuntukkan RM5.3 bilion bagi memperkasa keupayaan serta kapasiti, terutama angkatan tentera dan polis, melalui pembinaan dan mrnsik taraf kemudahan dan peralatan.

Laporan itu menyatakan, bagi sektor pentadbiran am, kerajaan akan memperuntukkan RM2.7 bilion bagi menaik taraf kemudahan kerajaan dan sistem teknologi maklumat dan telekomunikasi di seluruh negara.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA