#Bajet2017: Ekonomi Rakyat Tetap Diberi Perhatian


KUCHING: Disebalik keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, penekanan dalam Bajet 2017 tetap diberikan untuk membangunkan ekonomi masyarakat.

Menteri Muda Solidariti, Rosey Yunus berkata, ia dibuktikan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bajet untuk Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.

"Dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini, bajet ini tetap menumpukan kepada pemerkasaan ekonomi terutama melibatkan isi rumah," katanya ketika mengulas mengenai Bajet 2017.

Selain itu menurutnya, bantuan bersifat inklusif turut diumumkan yang menumpukan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

"Kita melihat orang kurang upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak dan wanita turut diberikan bantuan," ujarnya.

 Bajet kali ini juga menurutnya, tidak melupakan keperluan rakyat Sarawak.

"Pasti ada projek besar untuk Sarawak. Walaupun ingin melihat lebih banyak peruntukan untuk naiktaraf sekolah di luar bandar," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian Leonard Jambu ternyata gembira dengan Bajet 2017 yang memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar.


"Saya gembira kerana keutamaan diberikan kepada luar bandar terutama menambah baik dan bina baru klinik di luar bandar," kata Leonard.

Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu jelasnya, kerajaan masih memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian lebih rapi.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA