#Bajet2017 : Ekonomi Malaysia Dijangka Meningkat Empat Hingga Lima Peratus Tahun Depan


Kuala Lumpur : Ekonomi Malaysia dijangka meningkat empat hingga lima peratus dengan prospek pertumbuhan global dan perdagangan antarabangsa yang lebih baik pada tahun depan.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, pertumbuhan itu didorong permintaan domestik dan asas ekonomi yang kukuh serta langkah Bajet 2017 berteraskan rakyat serta pro-pertumbuhan.

Laporan itu menyebut, program dan langkah diperkenalkan di bawah Bajet 2016 bagi menangani pelbagai isu menunjukkan kemajuan ketara dan menghasilkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.1 peratus dalam tempoh enam bulan pertama.

Pertumbuhan dari segi permintaan disokong penggunaan swasta dan aktiviti pelaburan, manakala pertumbuhan dari segi penawaran didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Pada tahun ini, pertumbuhan KDNK dijangka kekal pada landasan 4 hingga 4.5 peratus menerusi 11 langkah baharu di bawah Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diperkuatkan dengan asas ekonomi negara yang kukuh.

Menurut laporan itu lagi, Kerajaan telah mengambil langkah pre-emtif (pencegahan) dengan menyemak semula Bajet 2016 bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Malaysia terus melangkah ke arah mencapai wawasan negara maju dan berpendapatan tinggi walaupun dengan ketidaktentuan persekitaran luaran yang semakin meningkat.

Pertumbuhan global kekal sederhana, kesan daripada volatiliti pasaran kewangan, harga komoditi terus rendah dan pertumbuhan lebih perlahan di negara maju.

Berasaskan tahap keterbukaan, ketidaktentuan ini memberi impak kepada ekonomi Malaysia melalui perdagangan dan kewangan.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA