#Bajet2017 : BR1M Dinaikkan Bagi Semua Kategori Tahun Depan



KUALA LUMPUR – Mengambil kira sambutan dan maklum balas yang sangat positif daripada penerima, kerajaan akan menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi semua kategori pada tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di sini hari ini berkata pemberian kepada isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200.

“Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, pemberian BR1M akan dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.

“Bagi individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000, BR1M akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM450,” katanya ketika membentangkan bajet bertajuk ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh.’

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata tidak sekadar itu, Skim Khairat Kematian akan diteruskan dengan pampasan RM1,000 kepada waris penerima BR1M bagi kategori isi rumah dan warga emas.

Perdana menteri berkata keseluruhan program BR1M ini akan memanfaatkan seramai tujuh juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada 2013, BR1M 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada 2014 BR1M 3.0, bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, bantuan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

BR1M 3.0 diperluas kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Dalam Bajet 2015, kerajaan menaikkan kadar BR1M 4.0 kepada RM950 daripada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dibayar secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kerajaan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Dalam Bajet 2016, BR1M untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000.

Pemberian BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800 manakala bagi individu bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA