#Bajet2017: Bajet Menumpukan Kesejahteraan Rakyat


KUCHING: Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi menanggap Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi sebagai bajet mesra rakyat.

Beliau berkata, ini kerana tumpuan banyak diberikan kepada kesejahteraan rakyat di semua peringkat.

"Bajet mesra rakyat, banyak tumpuan kepada kesejahteraan rakyat di semua peringkat," katanya ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Bajet 2017.

Mengenai cadangan kerajaan untuk mewujudkan zon digital percuma yang pertama di dunia, Dr Abdul Rahman berharap zon tersebut dapat dilaksanakan di Sarawak.

"Dalam bidang telekomunikasi, cadangan untuk mewujudkan zon digital percuma yang pertama di dunia, harap dapat dilaksanakan di negeri ini," ujarnya.

Menurutnya lagi, Najib turut mengumumkan insentif menarik kepada pengguna perkhidmatan talian tetap iaitu pertambahan 5mbps kepada 10mbps dengan harga yang sama.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, dana RM1 bilion yang diumumkan untuk meningkatkan liputan jalur lebar kepada 20mbps di seluruh negara bakal merancakkan lagi liputan internet.

"Kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyegerakan penembusan jalur lebar ini terutama di kawasan luar bandar," jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan turut mengumumkan sumbangan 430,000 tablet bantuan mengajar kepada guru di sekolah rendah dan menengah selain meningkatkan liputan jalur lebar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sehingga 100 gigabytes per saat.

Mengenai peruntukan RM460 juta untuk projek bekalan elektrik luar bandar (BELB), Dr Abdul Rahman berharap tumpuan peruntukan lebih besar untuk Sarawak.

"Sesungguhnya kita masih amat memerlukan dana yang banyak untuk Skim Bekalan Elektrik Alternatif (SARES) seperti penggunaan sistem solar dan mini hidroelektrik di kawasan yang jauh terpencil di kawasan luar bandar," tambahnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA