#Bajet2017 : 301km Jalan Luar Bandar Di Seluruh Negara Dibina Dan Dinaik Taraf



Kuala Lumpur : Kawasan luar bandar terus mendapat kemudahan infrastruktur, terbaharu melalui pembinaan dan menaik taraf jalan dengan panjang keseluruhan 301 kilometer (km) di seluruh negara.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, RM564.2 juta telah dibelanjakan sehingga akhir Ogos lepas bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, bagi menaik taraf jalan dan sistem perparitan di kawasan penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), RM200 juta telah diperuntukkan dengan RM151.6 juta merupakan komitmen untuk membina 866.1 km jalan dalam kawasan penempatan tersebut.

Selain itu, lebih 17,700 penduduk mendapat manfaat daripada projek bekalan elektrik luar bandar, dengan RM418.7 juta dibelanjakan untuk tujuan itu setakat Ogos lepas.

Bagi tempoh sama, RM184.8 juta dibelanjakan di bawah projek bekalan air luar bandar yang memanfaatkan lebih 11,000 penduduk.

Laporan itu turut menyentuh perkembangan beberapa projek berkaitan lapangan terbang yang antaranya menyaksikan kajian kebolehlaksanaan perluasan landasan lapangan terbang Batu Berendam, Melaka, telah bermula Ogos lepas dan dijangka siap November ini.

Bagi Lebuhraya Pan Borneo, jalan sepanjang 270km telah siap dibina di sebelah Sarawak manakala 117km lagi siap dibina di sebelah Sabah sehingga Ogos lepas.

Projek lebuh raya itu merangkumi jarak 1,089km di Sarawak dan 1,236km di Sabah.

Laporan itu memaklumkan subsektor pengangkutan merupakan penerima terbesar peruntukan merangkumi RM8.4 bilion yang digunakan untuk membiayai pembinaan, penyelenggaraan dan menaik taraf jalan, jambatan, lapangan terbang, pelabuhan serta landasan kereta api.

Projek jalan raya tertumpu di kawasan luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak untuk mempergiat aktiviti ekonomi dengan menambah baik akses ke pusat komersial di bandar, kata laporan itu.

Projek utama yang sedang dijalankan antara lain termasuk Lebuh Raya Pan Borneo, Lebuh Raya Pantai Barat, Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA