#Bajet2017: 13 Juta Pelancong Lawat Malaysia Sehingga Akhir Jun

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk menarik 30.5 juta pelancong pada tahun ini dan pada akhir Jun 2016 sejumlah 13 juta pelancong telah melawat Malaysia.

Pelbagai program dilaksanakan untuk mengukuhkan lagi industri pelancongan antaranya Pameran Pelancongan Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) 2016 dan Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2016.

Sehingga akhir Ogos, sejumlah RM8.4 juta telah dibelanjakan untuk program berkenaan, demikian menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Antara inisiatif lain bagi menarik kedatangan pelancong ialah penggunaan sistem permohonan visa dalam talian yang bermula 1 Mac tahun ini dengan kos berjumlah RM600,000. Perkhidmatan visa elektronik (e-Visa) ini disediakan untuk warga Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Myanmar, Nepal, Pakistan dan Taiwan.

Sejumlah 113,930 permohonan daripada semua negara berkenaan telah diproses sehingga akhir Ogos.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA