Bajet komprehensif, sehingga pembangkang hilang idea untuk membantah : Nancy


KUCHING: Bajet 2017 yang komprehensif dan merangkumi segenap lapisan masyarakat menyebabkan Ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang keluar dari Dewan Rakyat ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkannya semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri yang berkata demikian menambah, disebabkan bajet itu menunjukkan keprihatinan kerajaan, pembangkang hilang idea dalam melaksanakan peranan membantah mereka.

“Pembangkang itu memang tugas mereka membangkang. Sebab itu mereka tak tahan dengar tadi. Sebab itu pembangkang tidak mampu duduk dalam Dewan sebab komprehensif sangat, amat menyeluruh.

“Mereka tidak ada lagi yang hendak dibangkang jadi terpaksa keluar dari Dewan dan tidak mendengar seterusnya,” katanya sebagai reaksi selepas tamat pembentangan Bajet 2017 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, Sarawak memang wajar menerima peruntukan yang besar memandangkan masih banyak kemudahan perlu dibina seperti jalan, elektrik dan bekalan air bersih.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata peruntukan RM30 juta bagi tujuan pemetaan merupakan satu tanda keprihatinan kerajaan persekutuan agar para pemilik tanah NCR mempunyai dokumen sah bagi aset mereka.

Selain itu, kerajaan akan membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sarawak agar lebih ramai rakyat menikmati kemudahan perkhidmatan kerajaan itu, katanya.

Mengenai pemandu teksi, beliau berkata pemberian geran RM5,000 bagi memiliki permit sendiri merupakan satu berita yang amat dinantikan golongan tersebut.

Ia membolehkan pemandu teksi mengusahakan teksi sendiri tanpa terikat dengan syarikat.

“Bagi saya bajet kali ini menyeluruh untuk semua kategori masyarakat. Perdana Menteri tadi menujukan bajet kepada golongan B40, remaja, golongan profesional, pegawai kerajaan dan semua ini adalah untuk menangani kos sara hidup tinggi,” ujarnya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA