Bajet 2017 Turut Tumpu Kepada Industri Terjejas #Bajet2017


KUALA LUMPUR: Bajet 2017 antara lain akan memberi tumpuan kepada industri yang terjejas akibat kemerosotan ekonomi dunia yang mengekang perdagangan antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, bajet juga akan meliputi langkah untuk memperkasa dan memacu ekonomi negara dalam mendepani cabaran kelembapan ekonomi dunia ketika ini.

"Perancangan dan olahan Bajet 2017 akan terus memperkasa dan memacu ekonomi negara untuk kesejahteraan rakyat secara inklusif dan saksama," katanya menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai kedudukan ekonomi negara dan langkah memperbaikinya.

Mengenai keadaan ekonomi negara, katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh lima peratus tahun lalu, mengatasi negara serantau seperti Indonesia (4.8 peratus), Thailand (2.8 peratus) dan Korea Selatan (2.6 peratus).

Malah, beliau berkata, ekonomi negara berkembang pada kadar lebih tinggi berbanding ekonomi dunia yang berkembang pada kadar 3.2 peratus dan bagi tahun ini, ekonomi negara pada separuh pertama berkembang pada kadar 4.1 peratus dan diunjur berkembang pada kadar 4-4.5 peratus bagi 2016.

Penurunan kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun ini berbanding tahun lalu berpunca daripada momentum pertumbuhan ekonomi dunia yang agak lembab dan penurunan eksport Malaysia. harga komoditi seperti minyak, gas, sawit dan mineral turut merosot.

"Perkembangan geopolitik di Eropah yag dikejutkan oleh Brexit, turut menambah ketidaktentuan ekonomi dunia. Bagaimanapun, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan defesit fiskal negara kepada 3.1 peratus tahun ini dan 3.2 peratus pada tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menegaskan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah penyelamat kepada ekonomi Malaysia ketika negara berdepan cabaran ekonomi global. BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA