#Bajet2017: Peruntukan Lebih Untuk Kawasan Luar Bandar Sarawak


KUCHING: Pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pasti ditunggu-tunggu setiap lapisan masyarakat termasuk generasi muda yang berharap bajet kali ini membawa sinar kepada mereka.

Bagi generasi muda, harapan mereka menerusi bajet kali ini mungkin sedikit berbeza berbanding generasi lain kerana tumpuan lebih kepada bidang pendidikan, rumah dan telekomunikasi.

Bagi Setiausaha Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Leonard Jambu, harapan sudah pasti tertumpu kepada bina baharu dan menambah baik pasar tamu di setiap daerah di negeri ini.

"Ini memberi peluang kepada penduduk luar bandar menjual produk tempatan disamping memberi keselesaan kepada pengunjung dan penjaja.

"Secara tidak langsung (pasar tamu) dapat menjadi tempat mempromosi produk tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapannya untuk Bajet 2017 yang bakal dibentangkan 21 Oktober ini.

Leonard turut berharap tambahan peruntukan dapat diberikan untuk membangunkan kemudahan asas luar bandar seperti elektrik, bekalan air terawat, jalan raya dan internet.

Menurutnya, peruntukan yang lebih juga diperlukan menambahbaik atau membaikpulih sekolah luar bandar selain bajet diberikan untuk latihan kemahiran bagi belia luar bandar.

Bajet kali ini juga jelasnya perlu mengambil kira tambahan peruntukan rumah mesra rakyat (RMR) dan disalur ke pejabat daerah dengan segera selain menambah peruntukan mempromosi kawasan luar bandar yang berpotensi menarik ramai pelancong.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo mahu peruntukan lebih besar disalurkan kepada negeri ini terutama untuk memperkasan kawasan luar bandar.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA