#Bajet 2017: Pemberian biasiswa diteruskan - PM Selanjutny


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan pemberian biasiswa dengan peruntukan berjumlah RM4.3 bilion kepada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan pengajian tinggi pada tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2017 yang bertajuk 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh.' di Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Beliau berkata peruntukan itu membabitkan Jabatan Perkhidmatan Awam (RM1.6 bilion), Majlis Amanah Rakyat (MARA) (RM2 bilion), Kementerian Pendidikan Tinggi (RM250 juta), Kementerian Kesihatan (RM208 juta), Kementerian Pendidikan (RM194 juta), Kementerian Sumber Manusia (RM28 juta) dan Kementerian Belia dan Sukan (RM21 juta).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi meningkatkan kualiti institusi pengajian tinggi ke taraf global, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM7.4 bilion kepada 20 universiti awam pada tahun depan.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM 1.4 bilion adalah untuk empat hospital universiti, manakala RM300 juta untuk pemerkasaan lima universiti penyelidikan.

"Selain itu, sebanyak RM100 juta disediakan untuk Institut Pengajian Tinggi bagi membudayakan penyelidikan serta meningkatkan bilangan penerbitan dan harta intelek," katanya.


Najib berkata, bagi meningkatkan keberkesanan pemberian bantuan pelajar pendidikan tinggi, kerajaan akan menggantikan baucar buku dengan kad debit pelajar sejumlah RM250.

"Ia boleh digunakan untuk pembelian buku, alat tulis, alatan komputer dan akses Internet sekaligus memanfaatkan seramai 1.3 juta orang pelajar," katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA