#Bajet 2017: Najib Bentang Bajet 2017 Berteraskan Kesejahteraan Rakyat


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Bajet 2017 pada jam 4 petang di Dewan Rakyat, hari ini.

Bajet yang sememangnya dinantikan ramai, berkemungkinan menumpukan usaha menangani kos sara hidup khususnya aspek perumahan, makanan dan pengangkutan yang sejajar prinsip kerajaan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

Bertemakan 'Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat,' Bajet 2017 itu dijangka menyenaraikan beberapa langkah dalam usaha menangani cabaran ekonomi negara berikutan ketidaktentuan di peringkat global.

Sejajar matlamat mutlak bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara saksama dan inklusif, bajet berkenaan turut mengetengahkan pendekatan baharu bagi memacu industri tertentu mengharungi kelembapan ekonomi global.

Industri berkenaan terjejas akibat penyusutan perdagangan antarabangsa selain tempias tindakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) serta ketidaktentuan global susulan penurunan harga komoditi seperti minyak mentah, mineral, minyak sawit dan getah.

Malah, pihak Kementerian Kewangan turut mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai pelbagai isu serta saranan bagi Bajet 2017 selain mempelawa pembabitan orang ramai dengan berkongsi pandangan serta idea.

"Proses perancangan bagi Bajet 2017 itu melibatkan beberapa langkah bagi memacu ekonomi berteraskan matlamat untuk mensejahterakan rakyat secara saksama dan inklusif," kata Najib pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lepas.

Perdana Menteri turut membangkitkan keadaan ekonomi negara, termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang mencatat pertumbuhan 5.0 peratus pada tahun lepas dan mengatasi negara serantau seperti Indonesia (4.8 peratus), Thailand (2.8 peratus) dan Korea Selatan (2.6 peratus).

Ekonomi Malaysia pada separuh pertama tahun ini juga berkembang pada kadar 4.1 peratus dan diunjur meningkat pada kadar 4.0-4.5 peratus bagi 2016.

Menerusi Bajet 2016, sejumlah RM267.2 bilion diperuntukkan berbanding RM260.7 bilion pada 2015.

Pada 28 Januari, 2016, kerajaan bertindak melakukan pengubahsuaian Bajet 2016 yang membabitkan aspek inisiatif dan peruntukan yang diluluskan Parlimen.

Ucapan pembentangan Bajet 2017 itu akan disiarkan secara langsung menerusi Bernama News Channel dan menerusi penstriman langsung Bernama Online manakala berita mutakhir di Facebook dan Twitter Bernama. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA