Bajet 2017 merupakan bajet paling inklusif: Masing


KUCHING: Bajet 2017 yang dibentangkan semalam merupakan bajet paling inklusif yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, ia merangkumi kesejahteraan pembuat keputusan dan pelaksana (penjawat awam) malah turut tidak ketinggalan rakyat Malaysia yang lain dari segenap peringkat.

Katanya bajet itu turut mengiktiraf jasa dan bakti anggota keselamatan serta pencapaian golongan orang kurang upaya (OKU).

“Apa yang utama ialah pembangunan infrastruktur turut meliputi kawasan luar bandar yang mana ia mendapat perhatian serius daripada kerajaan dalam pembentangan bajet ini.

“Justeru, saya amat berharap peruntukan diberi secara adil dan cepat kepada Sarawak supaya Kempen Luar Bandar ‘GO Rural’ dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi Whatsapp semalam.

Sehubungan itu, beliau juga berharap agar Najib terus memperuntukkan RM30 juta untuk memastikan pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini dapat diteruskan dan menjamin keselamatan pemilik tanah NCR.

Dalam perkembangan sama, Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan mencadangkan agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) aktivis tanah di Sarawak menghentikan dakwaan tentang rampasan tanah yang dilakukan kerajaan.

“Marilah kita bekerjasama supaya pengukuran tanah NCR dapat dijalankan dengan cepat dan tanpa halangan dan pemilik tanah NCR dapat mengukur tanah mereka untuk dimajukan bagi menjana pendapatan ekonomi yang lebih baik,” jelasnya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA