#Bajet 2017: Kerajaan Peruntuk RM75j Pacu Pembangunan PKS


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM75 juta di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi menggalakkan pembangunan sektor berkenaan.

Selain itu, jaminan sehingga RM15 bilion bagi pelbagai skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan dilanjutkan tempohnya sehingga tahun 2025, kata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Parlimen, hari ini.

"Kerajaan sudah mengisytiharkan 2017 sebagai Tahun Startup & Promotion (Tahun syarikat permulaan dan promosi) sesuai dengan peranan PKS yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan pasaran buruh negara," katanya.

Menurut Najib, sebagai tambahan untuk melonjakkan PKS berorientasikan eksport, kerajaan akan memberi rebat kadar faedah sebanyak dua peratus kepada peminjam di bawah skim SJPP berkenaan.

Perdana Menteri berkata, rebat itu dihadkan kepada jumlah pembiayaan terkumpul sebanyak RM1 bilion yang membabitkan peruntukan RM100 juta bagi tempoh lima tahun. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA