Bahasa Penyumbang Identiti Negara


KUCHING: Bahasa memberi sumbangan besar dalam pembentukan identiti sebuah negara, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia mempunyai identiti sendiri iaitu bahasa kebangsaan.

"Sudah pasti bahasa memainkan peranan penting untuk menyatukan rakyat di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2016 Peringkat Negeri di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.

Dengan bertemakan 1Bahasa 1Jiwa 1Bangsa menurutnya, BBK amat bertepatan dengan penyatuan rakyat di Malaysia.

Abang Johari menjelaskan, nilai sesuatu bahasa turut berkait rapat dengan nilai ekonomi dan kemajuan sesebuah negara.

"Kesannya ratusan ribu masyarakat barat mempelajari bahasa Mandarin negara China menjadi pusat dan kuasa ekonomi dunia.

"Begitu juga bahasa Jepun, Perancis atau Jerman membolehkan negara ini maju," ujarnya.

Menurutnya lagi, Sarawak juga tidak terkecuali memberi keutamaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pada masa sama jelasnya, rakyat negeri ini juga perlu menguasai bahasa lain yang memberi faedah kepada pembangunan negeri ini khususnya bahasa inggeris.

“Apabila Sarawak menjadi negeri yang terkemuka dan maju sudah tentu orang lain akan belajar bahasa kita termasuklah bahasa kebangsaan kita,” jelasnya lagi," jelasnya.

Sementara itu, beliau turut berbangga dengan usaha DBP yang memperkenalkan kamus bahasa Mukah dan Iban yang kini dalam proses pembukuan..

“Ini adalah satu pendekatan terbaik untuk kita memperkayakan bahasa,” ujarnya.

Majlis sama turut menyaksikan pelancaran Kamus Melayu Sarawak- Melayu Dewan yang menghimpunkan 11,600 entri dan 9,800 subentri lengkap dengan padanan dalam bahasa Melayu Sarawak- bahasa Melayu. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA