Badan Korporat, NGO Diseru Bantu Pendidikan Kanak-kanak Istimewa


KUCHING: Badan-badan korporat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang ramai diseru untuk tampil menyalurkan sumbangan bagi membantu memberikan pendidikan yang baik dan mampu milik untuk kanak-kanak istimewa.

Isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu membuat seruan demikian ketika mengadakan lawatan di Sekolah Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) di sini sebentar tadi.

Menurutnya, sebagai sebuah organisasi amal, PERKATA banyak bergantung kepada bantuan orang ramai bagi membantu memberikan pendidikan yang baik dan mampu milik untuk kanak-kanak istimewa.

Beliau yang juga Penaung PERKATA Sarawak, melahirkan rasa gembira melihat perkembangan di premis tersebut. 

“Saya amat berbesar hati untuk hadir di sini hari ini kerana dapat melihat premis yang telah diberi lapisan cat baru yang disumbangkan oleh Dato Jason Tai.

"Justeru, saya amat mengalu- alukan jasa baik individu atau kepada kanak-kanak ini,” ujarnya.

Tambahnya, mereka juga seperti kanak- kanak yang lain berhak untuk mempunyai masa depan yang lebih baik.

“Kami berharap agar sokongan terus diberikan supaya kanak-kanak istimewa ini memperolehi kehidupan yang lebih bermakna.

“Saya berharap kerja yang baik ini akan diteruskan dan lebih banyak NGO tampil memberi sumbangan," katanya.

Dalam pada itu, Jamilah juga berharap agar ibu bapa memberi sokongan sepenuhnya kepada guru dalam mendidik anak-anak terencat akal terbabit. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA