Awie, Sharifah Ladyana selamat diijabkabul


KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, serta pasangannya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, selamat diijabkabulkan, sebentar tadi.

Pernikahan vokalis kumpulan Wings itu berlangsung kiri-kira jam 12.10 tengah hari tadi di lokasi yang dirahsiakan atas permintaan penyanyi itu dan keluarganya.

Majlis pernikahan itu dihadiri anak-anak Awie dan anggota keluarga terdekat.

Dengan sekali lafaz, Awie sah bergelar suami kepada Sharifah Ladyana. Penyanyi itu dan isterinya, masing-masing menitiskan air mata selepas berakhirnya majlis akad nikah.

BH Online turut membuat liputan eksklusif FB Live pada majlis pernikahan Awie dan Syarifah Ladyana.

Memberitahu BH Online, Awie mengaku terpikat dengan keikhlasan Syarifah Ladyana menerima dan melayan lima anaknya daripada perkahwinan terdahulu seperti darah daging sendiri.

"Dia wanita yang bersederhana dalam segala hal serta pandai membawa diri. Paling penting, dia bukan saja menerima saya seadanya, malah menyayangi anak-anak saya tanpa syarat.

"Keikhlasan itu yang menambat hati saya untuk menyuntingnya sebagai suri hidup. Bagi saya, kebahagiaan ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya kepada anak-anak saya yang perlukan belaian ibu," katanya.

Memilih persalinan baju Melayu rona hitam manakala Sharifah Ladyana yang sebelum ini pernah bertugas di sebuah syarikat penerbangan, tampak anggun mengenakan baju kurung warna sama.

Selesai majlis pernikahan, pengantin bakal diraikan dalam majlis resepsi berkonsep tradisional Melayu di tepi pantai dengan dihadiri kira-kira 250 tetamu, malam ini.

Ini adalah perkahwinan ketiga buat Awie. Sebelum ini, Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan Arni Nazira Anuar pada tahun 1998. Namun, mahligai mereka hanya bertahan lapan tahun.

Awie kemudian menikahi Rozana Misbun pada tahun 2006 tetapi tidak tinggal sebumbung sejak tahun 2014.

Menerusi perkahwinan dengan Arni, Awie dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Bersama Rozana, Awei memperoleh tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA